Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

49% rakyat Malaysia setuju pentadbiran Selangor cemerlang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 49 peratus rakyat Malaysia setuju pentadbiran Kerajaan Selangor sangat cemerlang dan cemerlang berbanding hanya 29 peratus bagi pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Keputusan Kajian Mood Rakyat Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 itu dibentangkan oleh Timbalan Pengerusi IDE, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

“Di peringkat Persekutuan diketuai Umno atau Barisan Nasional (BN) tahap keyakinan atau persepsi mereka yang menganggap cemerlang dan sangat cemerlang cuma 29 peratus, Selangor 49 peratus, Pulau Pinang 40 peratus dan Kerajaan PAS di Kelantan 39 peratus.

“Ini gambaran seluruh penduduk Malaysia tentang apa yang belaku di peringkat Persekutuan tetapi mereka memberikan gambaran menarik apabila ditanya tentang Selangor, bagaimana pandangan rakyat Malaysia seluruhnya terhadap Selangor, mereka memberikan prestasi Kerajaan Selangor adalah 49 peratus cemerlang.

BANGUNAN SUK“Itu ditanya orang luar Selangor, kalau tanya penduduk Selangor tentu akan lebih tinggi. Ini bermakna mereka melihat Selangor jauh lebih cemerlang,” katanya pada sidang media Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa di Auditorium IDE, Bangunan IDE di sini, semalam.

Katanya, keputusan kajian ini menunjukkan rakyat mempunyai keyakinan tinggi terhadap keupayaan pembangkang mentadbir kerajaan dengan baik dan berkesan seperti ditunjukkan Kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Jelasnya, dalam kajian melibatkan 4,486 responden daripada 12,082,403 pengundi seluruh Malaysia itu mendapati hanya 8 peratus menganggap prestasi Kerajaan Persekutuan sebagai sangat cemerlang, diikuti 21 peratus cemerlang, 41 peratus sederhana, 21 peratus tidak cemerlang dan 10 peratus sangat tidak cemerlang.

Sementara itu bagi Kerajaan Selangor pula, 11 peratus responden setuju sangat cemerlang, 38 peratus cemerlang, 46 peratus sederhana dan 6 peratus lagi menganggap tidak cemerlang dan sangat tidak cemerlang.

Kajian itu dijalankan serentak seluruh semenanjung Malaysia dengan kaedah masa sebenar dijalankan pada 11 hingga 16 Ogos dengan melibatkan 64 enumerator yang terdiri pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh semenanjung.

Antaranya pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa (UIAA), Universiti Teknologi Mara (UITM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Univerisiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Selangor (UNISEL) dan beberapa institusi pendidikan sekitar Lembah Klang.

Kajian secara bersemuka itu menggunakan aplikasi menggunakan ‘tab’ yang dibangunkan IDE sendiri bagi membolehkan keputusan diperolehi serta merta oleh bilik gerakan kajian yang berpusat di Shah Alam.

=EZY=