Categories
NASIONAL

50% pengundi dah tetapkan sokongan PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kaji selidik Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 50 peratus pengundi di Semenanjung Malaysia telah memilih parti mana yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Kajian yang melibatkan 4,486 responden itu turut mendapati sebanyak 22 peratus pengundi akan membuat keputusan parti mana yang akan dipilih selepas penamaan calon dan sembilan peratus akan membuat keputusan seminggu sebelum hari pengundian.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Profesof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata kaji selidik dijalankan pada pada 11 hingga 16 Ogos itu turut mendapati sebanyak 19 peratus lagi akan membuat keputusan di saat akhir iaitu pada hari pengundian.

RAKYAT MALAYSIA“Golongan terbesar adalah yang awal lagi sudah membuat keputusan parti mana nak dipilih. Kemungkinan besar mereka ini adalah ahli sesuatu parti itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan ‘Survei Malaysia 2017, #MoodRakyat – Kajian Trend Masyarakat Malaysia Dalam Isu Semasa’ terhadap soalan kepada responden ‘pada ketika manakah keputusan dan pendirian memilih sesuatu parti dibuat’.

Sementara itu apabila responden ditanya berkenaan tahap kepuasan dengan situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia, kajian mendapati sebanyak 18 peratus sangat tidak berpuas hati, 27 peratus tidak berpuas hati dan 36 peratus kurang berpuas hati dengan situasi politik dan amalan demokrasi di Malaysia.

Kajian terhadap soalan berkenaan juga mendapati hanya 19 peratus sahaja yang memberikan persepsi berpuas hati.

=EZY=