Categories
SELANGOR

Abaikan kutipan sewa tidak sah KPKT

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 OGOS: Tindakan Pejabat Pengurusan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengutip sewa bulanan daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Taman Putra Damai jelas tidak sah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Samad, berkata hal itu ekoran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih lagi pengurus bangunan sah pangsapuri terbabit.

“Tindakan KPKT memungut sewa tidak sah kerana bangunan belum diserah Kerajaan Negeri kepada KPKT.

“MBPJ masih menyelenggara PPR Lembah Subang, justeru saya menggesa penduduk jangan bayar sewa kepada KPKT tetapi bayar kepada MBPJ seperti biasa,” katanya kepada SelangorKini.

Iskandar berkata, KPKT juga harus membayar RM60 juta kos penyelengaraan dan baik pulih yang dijalankan MBPJ jika mahu mengambil alih pengurusan pangsapuri terbabit.

Katanya, KPKT juga tidak mempunyai hak untuk menghalau mana-mana penduduk di PPR itu.

Terdahulu, KPKT didakwa membuka pejabat pengurusan secara haram bagi ‘menguruskan’ PPR itu.

Mereka juga mula mengeluarkan bil sewaan bagi Jun 2017 kepada penduduk dan memberi notis berbaur ugutan supaya menyertai mereka.