Categories
NASIONAL

Azmin: Bincang dengan PAS mewakili parti, bukan individu

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 26 OGOS: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan perbincangan bersama PAS dilakukannya adalah mewakili KEADILAN dan tidak dilakukan atas kapasiti individu.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menjelaskan ia adalah kata putus diambil KEADILAN bagi mengadakan perbincangan ke arah mewujudkan kerjasama dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 14 ini.

“Ia bukan inisiatif saya secara peribadi tetapi keputusan dibuat KEADILAN dan saya hanya bertindak sebagai wakil parti.

“Saya juga sudah memaklumkan sebelumnya ia bukan perbincangan formal antara KEADILAN dan PAS,” katanya kepada media.

MBMohamed Azmin berkata demikian sekembalinya beliau dan rombongan dalam lawatan kerja ke Zurich, Switzerland di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, perbincangan itu hanya membabitkan kedua-dua parti iru dan tiada kaitan dengan Pakatan Harapan.

“Perbincangan hanya antara KEADILAN dan PAS serta belum ada perbincangan formal.

“Perjumpaan antara Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadil Awang, adalah satu ziarah,” katanya.

Mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehen Mukhyi bahawa parti itu akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi di Selangor, beliau berkata, perbincangan lanjut boleh diadakan bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ini biasa di mana parti politik boleh bertanding di mana-mana kerusi dan ia dapai diselesaikan dalam bentuk perbincangan.

“Kita akan berbincang dengan semua parti kecuali Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

=EZY=