Categories
SELANGOR

Belia disaran terlibat sukarelawan perangi dadah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 OGOS : Golongan belia disaran melibatkan diri dalam program sukarelawan di sekolah bagi memberi pemahaman sebenar berkait isu bahaya dadah.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyambut baik inisiatif berkenaan dalam usaha membanteras penularan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Berdasarkan statistik terkini, banyak kes dadah dilaporkan bermula bukan lagi di peringkat umur selepas tamat sekolah, tetapi ia berlaku dalam tempoh pelajar masih dalam peringkat persekolahan.

“Justeru sekiranya ada cadangan supaya belia masuk sekolah untuk tujuan sukarelawan dan pendidikan berkait bahaya dadah, saya menyokong usaha ini.

“Mungkin kaedah itu boleh dilaksanakan bagi menangani masalah dadah melibatkan pelajar sekolah,” katanya pada Townhall Session sempena penganjuran Kongres Mahasiswa Selangor 2017 di Dewan Raja Muda Seksyen 7, semalam.

Amirudin berkata, di peringkat Kerajaan Negeri, komitmen membanteras kegiatan dadah dilaksanakan di bawah agensi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor.

Agensi berkenaan menyaksikan Amirudin bertindak sebagai Pengerusi PEMADAM negeri yang giat melaksanakan program pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat.

“Kami di peringkat Kerajaan Negeri juga turut konsisten memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah dengan mengadakan program turun padang khususnya di kawasan pinggir bandar.

“Pelbagai pendedahan dan maklumat pendidikan diberikan supaya golongan muda khususnya didedahkan tentang bahayanya dadah,” kata Amirudin.

Terdahulu, portal media melaporkan penyalahgunaan dadah kekal menjadi masalah besar melibatkan dua kawasan Felda di Selangor.

Dilaporkan, peneroka bimbang ramai dalam kalangan anak muda malah warga yang sudah berusia setengah abad menghisap dadah jenis syabu atau dikenali sebagai “ice” di penempatan negeri itu.

=EZY=