OLEH LIZAWATI MADFA
KAJANG, 5 OGOS: Kerajaan Persekutuan hanya memulangkan sejumlah RM52.09 juta daripada RM105.17 juta tuntutan balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) oleh kesemua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia menjadikan baki RM53.08 juta masih belum dipulangkan Kastam DiRaja Malaysia (Kastam) kepada 12 PBT Selangor.
Katanya, tuntutan dibuat itu merangkumi tuntutan GST bagi tempoh April 2015 hingga 30 Jun lalu.
“Ketua Pengarah Kastam berkata, penangguhan bayaran balik dilakukan atas pelbagai alasan tidak munasabah.
“Walaupun kita tidak bersetuju dengan GST, tetapi Selangor diakui sebagai negeri paling banyak menyumbang GST kepada Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Pasar dan Dewan Komuniti Suntex, Cheras, di sini, hari ini.
Pada 26 Julai lalu, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam mendakwa, 12 PBT di Selangor menghantar penyata GST ‘diragui’ hingga menyebabkan pembayaran balik lebih RM36 juta tertangguh.
Mengulas perkara itu, Mohamed Azmin sebelum ini berkata, Perbendaharaan Negeri Selangor sudah diminta untuk berhubung dengan semua PBT bagi memastikan tuntutan dibuat menepati proses ditetapkan.
Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah bagaimanapun kesal dengan kenyataan Kastam dan menggesa mereka mengguna kaedah lebih matang bagi menyelesaikan isu tuntutan berkenaan.
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin turut berpandangan, Kastam tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan ‘meragukan’ kerana dokumen dihantar mengikut prosedur ditetapkan.
Sementara itu, pemangku YDP Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, pihaknya akan berbincang dengan Unit Perancangan Ekonomi Selangor (UPEN) untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad pula berkata, pihaknya dalam proses melantik perunding GST bertauliah bagi membantu menyelesaikan tuntutan lebih RM13 juta.
=EZY=