Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

‘Kad Susuan’ kaedah tangani perkahwinan tidak sah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 OGOS: Jabatan Agama Islam (Selangor) JAIS menimbang untuk memperkenalkan ‘Kad Susuan’ sebagai kaedah menangani perkahwinan tidak sah membabitkan adik-beradik susuan di negeri itu.

Pendaftar Kanan Pegawai Tadbir Agama (PAID), Jamali Mohd Adnan berkata, cadangan berkenaan dibuat dalam rangka perbincangan bersama agensi tertentu membabitkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Beliau berkata, kaedah itu boleh dilaksanakan bagi mengekang permasalahan membabitkan perkahwinan susuan tanpa sedar dalam kalangan masyarakat.

“Pelaksanaannya mungkin boleh dimasukkan kepingan (cip) pada kad pengenalan sedia ada supaya pasangan yang memohon untuk berkahwin dapat dikesan sama ada mereka adik-beradik ibu susuan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Meja Bulat Memahami Isu Anak Tidak Sah Taraf di Universiti Selangor (UNISEL), hari ini.

IMG_20170810_124335Bagaimanapun Jamali berkata, cadangan terbabit masih di peringkat awal sebelum kajian lanjut berkenaannya diputuskan di peringkat Persekutuan.

Mengulas lanjut, katanya, wujud senario dalam masyarakat berhubung masalah berkenaan yang berlaku tanpa sedar menyebabkan perkahwinan itu tidak diiktiraf.

“Apabila anak itu disusukan badan (dengan dua syarat), secara automatiknya anak itu menjadi
adik-beradik susuan kepada anak wanita yang menyusukan bayi dan mereka tidak boleh berkahwin.

“Faktor boleh berlakunya perkahwinan ini apabila anak susuan itu terpisah jauh dan berjumpa semula dengan adik-beradik susuan dengan tujuan berkahwin.

“Justeru, kemungkinan berlaku perkahwinan tidak sah atas faktor ibu susuan itu sendiri,” katanya.

Adik beradik susuan merujuk kepada individu yang menyusu badan dengan wanita sama ketika bayi di bawah usia dua tahun dengan tempoh penyusuan lima kali.

Program berkenaan dianjurkan Institut Maqasid Syariah (INSMAQ) Pusat Kecermelangan UNISEL dengan kerjasama Jawatankuasa Induk Majlis Wanita Prihatin UNISEL.

Ia turut menampilkan Dekan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zulkifli Hasan dan Pengarah Institut Halal Antarabangsa Pusat Kecermelangan UNISEL, Profesor Datuk Dr Noor Inayah Yaakub.