Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

KUIS meterai MoU bersama 4 institusi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) antara fakulti Pengajian Peradaban Islam dengan empat institusi lain bagi memperkasa sistem pendidikan Islam.

Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Abdul Halim Tamuri berkata, tiga institusi tempatan terlibat ialah Persatuan Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darus Syifa’), Yayasan Restu, Yayasan Dakwah ISlamiah (YADIM) dan satu institusi luar negara, Universitas Islam As-Syafi’iyyah Jakarta, Indonesia.

Beliau berkata, pihaknya yakin kerjasama dari empat institusi itu dapat ditingkatkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita yakin kolaborasi ini dapat memantapkan sistem pendidikan Islam, antaranya program berbentuk pengajian diploma perubatan Islam dengan kerjasama Darus Syifa’.

“Manakala dengan YADIM program berbentuk dakwah dilaksanakan, sementara Universitas Islam As-Syafi’iyyah kita rancang persidangan dengan mereka di samping mengadakan program pertukaran pelajar dan kakitangan,” katanya.

IMG_20170801_135634-1280x826Beliau berkata demikian selepas perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Islamiyyat (IRSYAD 2017) di TM Convention Center, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Abdul Halim berkata, IRSYAD 2017 yang memasuki tahun ketiga mengumpulkan ahli akademik, ulama’, pembuat dasar dan cendekiawan bagi menangani isu semasa berkenaan pengajian Islam.

“Pelbagai topik dan isu berkaitan syariah, perundangan Islam, dakwah, usuluddin, Quran dan Sunnah, Tahfiz dan Qiraat serta bahasa arab akan dibentangkan.

“Seminar kali ini juga untuk mengenal pasti isu berkaitan pengajian Islam secara teori dan praktikal dengan mengemukakan solusi,” katanya.