Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: KPN mesti tangkap dan ekstradisi Jho Low

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan notis terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar menuntut tindakan penangkapan dan ekstradisi Low Taek Jho atau Jho Low.

Notis itu difailkan semalam menerusi peguam, Latheefa Koya yang mewakili Mohamed Azmin menyatakan, IGP diberi tempoh selama 14 hari dari tarikh notis (1 Ogos 2017) untuk mengambil tindakan sewajarnya dan tindakan undang-undang akan diambil jika beliau gagal berbuat demikian.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Komunikasi Strategik, Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong dalam satu kenyataan.

Menurutnya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab Ketua Polis Negara di bawah Akta Polis 1967 dan Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil tindakan, termasuk permohonan formal mendapatkan bantuan daripada agensi polis antarabangsa Interpol.

“Jho Low adalah seorang warganegara Malaysia yang dipercayai sedang bersembunyi di luar negara dan dia menjadi tumpuan dalam siasatan di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura berhubung jenayah menggelapkan wang daripada syarikat pelaburan bermasalah, 1MDB.

“Jho Low disyaki melakukan beberapa kesalahan jenayah mengikut undang-undang Malaysia, termasuk kesalahan mengikut Seksyen 120B, 406 dan 409 Kanun Keseksaan, yang mana membabitkan konspirasi jenayah, pecah amanah jenayah dan pecah amanah jenayah oleh ejen atau penjawat awam.

“Dia turut disyaki melakukan jenayah berhubung dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

=EZY=