Categories
AGAMA SELANGOR

Muzakarah Zakat Kebangsaan’17 perkukuh agihan dan kutipan zakat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 8 OGOS: Muzakarah Zakat Kebangsaan 2017 yang memasuki kali kedua penganjuran itu mampu memberikan impak positif ke arah memperkasakan kutipan dan agihan zakat di Malaysia.

Program itu dianjurkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang merupakan institusi zakat terbaik di Malaysia dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hussin Mohd Ali berkata, muzakarah kali ini menghimpunkan sebanyak 160 perwakilan daripada pelbagai sektor khususnya berkaitan dengan pengurusan zakat, ahli akademik dan perseorangan.

Katanya, ia diadakan bertujuan mengupas isu-isu serta cabaran terkini dalam pemerkasaan kutipan dan agihan zakat.

“Ia juga membincangkan hukum hakam yang berkaitan secara langsung serta mencari mekanisme terbaik dalam meningkatkan kefahaman masyarakat tentang kewajipan berzakat sekaligus membantu golongan memerlukan.

“Kita mengumpulkan cerdik pandai Islam untuk melihat banyak lagi aspek zakat yang perlu dikemaskini ke arah menjadikan zakat satu agenda penting selaras kedudukannya dalam salah satu Rukun Islam,” katanya ketika merasmikan program itu di Hotel Bluewave, di sini.

Dalam program itu, sebanyak 33 kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari muzakarah berlangsung yang diadakan selama dua hari ini.

Antara pembentangnya ialah Timbalan Mufti Selangor, Dr Anhar Opir; Pengarah Institusi Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD), Prof Madya Dr Irwan Mohd Subri.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jaafar Ismail.

=EZY=