Categories
NASIONAL

‘Online shopping’ catat aduan tertinggi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 29 OGOS: Sektor E-Dagang (Online Shopping) mencatatkan aduan tertinggi sebanyak 7,371 bagi tiga tahun berturut-turut, menurut Laporan Aduan Pengguna Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) 2016.

Pengurus Kanan, Dasar dan Perundingan NCCC, Shabana Naseer Ahmad berkata, selepas pengenalan internet dan perkembangna teknologi kini, ramai rakyat Malaysia membeli belah pelbagai jenis produk dengan menggunakan dalam talian.

Namun, katanya, pengguna sering berdepan masalah tidak mendapat produk dipesan atau barang dipesan tidak berkualiti.

“Pengguna sering menjadi mangsa pembelian dalam talian apabila barang dipesan tidak sampai atau tertipu dengan ulasan diambil dari peniaga lain untuk keuntungan sendiri.

“Salah satu masalah besar semasa membeli atas talian juga pengguna tidak mempunyai jaminan terhadap kualiti produk dibeli kerana ramai pengguna mengadu barangan yang sampai tidak sama seperti dipaparkan dalam lama sesawang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Laporan Aduan Pengguna NCCC 2016, di Petaling Jaya, hari ini, di sini.

IMG_20170829_115349Shabana semasa membentangkan laporan tahunan itu turut menasihatkan pengguna supaya berhati-hati ekoran terdapat peniaga yang sengaja mengelirukan pelanggan dengan memalsukan ulasan untuk meningkatkan jualan.

Pada masa sama, katanya, selain E-Dagang, industri automobil mengekalkan nilai monetari tertinggi dalam pertikaian yang dicatatkan NCCC, sejak 2011.

Katanya, pada 2016, industri automobil mencatatkan kerugian lebih RM79.1 juta kerana pengeluar kereta menawarkan harga mampu milik.

“Untuk mengeluarkan kos tahap kemampuan itu, maka kualiti kereta mungkin dikompromasi menyebabkan peningkatan aduan dari segi nilai kerugian.

“Apa yang mengecewakan kebanyakan aduan diterima berkaitan pengeluar kereta tempatan, namun aduan terhadap kereta import juga tidak kurang jumlahnya,” katanya.

Shabana berkata, walaupun ada undang-undang, masalah terbabit seolah tiada penyelesaian kerana kebanyakan pengadu masih menghadapi masalah sama dan secara tidak langsung menyebabkan hilang kepercayaan terhadap pengeluar.

“Tanpa wujudnya badan pengawalseliaan yang memantau dan mengambil tindakan terhadap indusri automobil, maka pembuat kereta perlu menjalankan kajian berkenaan kebolehgunaan kereta baru atau kereta terpakai.

“Dengan pelancaran Laporan Tahunan NCCC 2016 ini, kami berharap peniaga akan lebih mengambil perhatian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta barangan mendapatkan kepercayaan dan keyakinan pengguna,” katanya.