Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembalakan haram bakal rugikan negara

OLEH AHMAD NIZAM HAMID

Saya ambil maklum kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri berhubung kerugian negara kira-kira RM15.2 juta akibat daripada aktiviti pembalakan haram di Semenanjung Malaysia dari tahun 2006 hingga 2016.

Ternyata begitu banyak pokok yang telah ditebang dan berkemungkinan kawasan hutan dan bukit telah ditarah dan digondol sewenang-wenangnya.

Kegiatan pembalakan haram ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius kerana seolah-olah tidak dapat dibendung lagi angkara perbuatan rasuah yang membabitkan pembalak dan anggota penguatkuasa agensi kerajaan.

Difahamkan juga, pada tempoh yang sama sebanyak 256 kes pembalakan haram telah direkodkan dan sejumlah 229 orang telah ditangkap berhubung kegiatan ini. Adakah kadar hukuman yang dikenakan tidak begitu berat?

Selain kerugian sehingga puluhan jutaan ringgit, berlaku juga kemusnahan alam sekitar, kerosakan kawasan tadahan air serta menjejaskan kehidupan liar.

Pencerobohan dan pembalakan haram yang berleluasa telah menjejaskan ekosistem hutan yang diceroboh kerana telah ditebang dan digondolkan. Hutan-hutan yang terjejas ini tidak mungkin dapat digantikan dalam waktu yang singkat.

Sekiranya kegiatan pembalakan haram ini tidak dibendung, negara akan mengalami kerugian sehingga ratusan juta ringgit setahun.

Saya menggesa Jabatan Perhutanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memandang serius masalah ini.

Pada masa yang sama, untuk berlaku adil, kerajaan harus memastikan kelestrasian hutan dan alam sekitar. Adalah tidak berlaku adil sekiranya untuk menyalahkan pembalakkan haram semata-mata, ini kerana kelulusan konsesi balak wajar turut disertakan dengan syarat-syarat yang lebih ketat selain secara tender terbuka.

Malaysia selaku pihak yang menandatangani Protokol Kyoto mengenai ‘Climate Change’ harus terkehadapan daripada sudut menjaga dan memugar alam sekitar bukan sahaja menguatkuasakan undang-undang berkaitan pembalakan haram tetapi juga di dalam isu pemberian konsesi balak yang kelihatannya tidak terkawal dan dilakukan sewenang-wenangnya.

# Ahmad Nizam Hamid adalah Timbalan Pengerusi KEADILAN Pahang