Categories
SELANGOR

Penduduk puji tindakan pantas MBI

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tindakan pantas Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorporated-MBI) menyelesaikan isu berbangkit di Pangsapuri Saujana Damai Fasa 2 ternyata memberi kelegaan kepada 20 keluarga, di sana.

Pengerusi Persatuan Penduduk, Aminuddin Ismail berkata, kesudian MBI memberi sumbangan juga meringankan beban penduduk yang kebanyakannya berpendapatan sederhana.

“Sejak dahulu, memang pangsapuri ini di bawah MBI, namun kita dapat lihat jurang perbezaan yang amat ketara.

“Di bawah pengurusan kendalian Ketua Pegawai Operasi, Soffan Affendi Aminudin, kita dapat lihat perubahan drastik.

MBI (1)“Pengurusan agresif dan pantas seperti ini pastinya memberi kegembiraan buat kami. Tahniah MBI,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Aminuddin berharap penduduk dapat memberikan kerjasama dan komitmen untuk kepentingan jangka panjang.

“Kita tidak mahu masalah lama seperti hutang tertunggak berulang kembali. Masalah dahulu seperti air juga sudah MBI bantu selesaikan, jadi kita harap semua dapat hargai dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik,” katanya.

Pada 24 Mei lalu, MBI diketuai Ketua Korporat Pejabat Ketua Pegawai Operasi, Ahmad Ashraf Asnan melakukan lawatan kerja bagi mengenal pasti masalah di pangsapuri berkenaan yang memerlukan tindakan segera.

Sehingga kini, sejumlah RM710,967 diperuntukkan MBI bagi kerja pembaikan dan penyelenggaraan di pangsapuri berkenaan, sejak 2009.

Hak milik strata semua 20 unit kini berada dalam tangan MBI dan sedia diserahkan kepada penduduk selepas semua syarat dipenuhi.