Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pengurusan Pusat Latihan Awam Selangor capai prestasi positif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 OGOS : Pengurusan Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS) di bawah gerak kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mencapai prestasi positif bagi tahun berakhir 2016.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 (LKAN) bertarikh 31 Julai menunjukkan pengurusan dan pentadbiran kursus berjalan mengikut piawaian ditetapkan di peringkat Persekutuan.

Pengauditan dijalankan dengan menyemak rekod, dokumen kurus serta rekod kewangan bagi 30 daripada 56 kursus dilaksanakan PLAS bermula 2014 hingga September 2016.

“Pengauditan dijalankan mendapati secara keseluruhannya, prestasi pengurusan PLAS adalah sangat baik khususnya dari segi pelaksanaan kursus, penggunaan kemudahan dan penilaian kursus oleh perserta,” menurut laporan itu.

Penilaian elemen tafsiran mendedahkan penilaian kurus mendapat perolehan 94.9 peratus sementara pelaksanaan kursus sedia ada mencapai perolehan 100 peratus, meletakkan PLAS kekal produktif.

Bagaimanapun, LKAN mencadangkan supaya pengurusan dan penyenggaraan pencegahan perlu ditambah baik ekoran kurangnya inisiatif terhadap permasalahan dalaman.

Ia termasuklah tumpuan gerak kerja keselamatan dan keselesaan pengguna dan peserta kursus latihan awam negeri.

Terdahulu, pengauditan audit dijalankan bagi menilai pengurusan PLAS melaksanakan piagam sedia ada bagi melatih penjawat awam negeri.

Skop pengauditan meliputi aspek perancangan dan pelaksanaan serta pengurusan latihan PLAS sepanjang tahun.