Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rakyat Selangor waras pilih Pakatan, sedia terus beri kepercayaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OGOS: Penduduk Selangor menyifatkan keceluparan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencerminkan sikap beliau yang tidak menghormati pendirian rakyat Selangor dan menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak memahami keluh kesah rakyat di peringkat akar umbi.

Pesara yang juga Bekas Ketua Cawangan Umno Kampung Melayu Ampang selama 25 tahun, Mohd Yassin Mohamad, 67, berkata, hal ini berikutan Kerajaan Negeri hari ini memberi pelbagai faedah kepada rakyatnya melibatkan semua lapisan berbanding dahulu, hasil negeri hanya dibolot oleh beberapa kerat kroni pemimpin BN sahaja.

“Ini adalah pilihan rakyat Selangor. Kami berhak pilih dan ternyata pilihan kami tepat kerana keadaan sekarang jauh berbeza daripada dahulu, bermakna dia orang bekerja, tiada masalah.

“Persoalannya, kenapa dia nak kata macam itu sekarang sekarang pelbagai Kerajaan Negeri buat buat untuk rakyat dan saya nak tanya, apa lagi yang Kerajaan Negeri tak buat. Inilah yang saya hairan kenapa dia kata macam itu. Bagi saya dia tak tahu apa yang berlaku.

“Dahulu, tak ada apa pun, macam tak buat kerja. Macam mana dia boleh kata orang Selangor gila? Atau entah-entah dia yang tak betul,” katanya kepada SelangorKini ketika memberikan reaksinya berhubung kenyataan Tengku Adnan yang mempersoalkan adakah pengundi di Selangor ‘gila’ kerana menolak BN dalam pilihan raya.

Jelas Mohd Yassin yang pernah menyandang jawatan Ahli Jawatankuasa Umno peringkat Bahagian Ampang Jaya itu, masyarakat di Selangor hari ini boleh menyertai pelbagai skim di bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di mana tidak pernah berlaku di mana-mana negeri di bawah BN termasuk Selangor di era BN dahulu.

Kakitangan Kerajaan, Shikh Mohd Hafiz Shikh Mohsin, 38, pula menyifatkan kenyataan Tengku Adnan itu sebagai satu penghinaan kepada rakyat negeri termaju itu.

“Ini satu penghinaan kepada penduduk Selangor yang bebas memilih mana-mana pemimpin melalui proses pilihan raya dan nyata sekali pengundi Selangor menolak BN bukan sekali tapi dah dua kali.

“Sepatutnya Tengku Adnan sebagai Setiausaha Agung BN dia melihat ini dari aspek dengan menambah baik BN tanpa menyalahkan penduduk kerana kita berhak memilih siapa yang kita nak pilih perintah negeri kita,” katanya.

Jelasnya, sedangkan majoriti rakyat Selangor sendiri berbangga dengan Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini.

“Saya memang berbangga tinggal di Selangor. Orang tua saya berasal di Johor dan saya diberitahu apa yang dilakukan di Selangor ditiru Kerajaan Johor seperti Skim Khairat Kematian kita yang menawarkan RM2,500 tetapi Johor menawarkan RM500.

“Mereka ada wifi percuma dan bas percuma tetapi perkhidmatan bas percuma mereka bercelaru. Pengguna bas juga kena berdaftar di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) dahulu,” katanya lagi.

Katanya, BN sepatutnya memperbaiki perkhidmatan mereka kepada rakyat untuk meraih kepercayaan dan bukannya mengatakan rakyat Selangor gila.

Firdaus Ahmad Fauzi, 30, yang bekerja sendiri, berkata, rakyat Selangor hari ini sudah bertambah cerdik apabila mampu menilaikan parti mana yang betul-betul mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Saya lahir di Hospital Klang dan dibesarkan di Shah Alam, ibu negeri Selangor. Siapa Tengku Adnan yang nak cakap orang selangor gila?

“Rakyak selangor cerdik nak pilih pemerintah dari parti politik mana sekali pun. Zaman BN memerintah apa yang telah berlaku banyak mengecewakan rakyat. Kerajaan dahulu tidak mendahulkan rakyat, kita tolak habis-habisan orang seperti Tengku Adnan,” katanya pula.

Pekerja swasta, Nasharuddin Md Isa, 44, pula menyifatkan perkembangan di Selangor hari ini membuktikan rakyat Selangor semakin berfikiran waras, bijak dan matang dalam memilih parti untuk menerajui negeri itu.

“Dia tak ada hak nak paksa orang Selangor. Orang Selangor hari ini semakin ramai yang matang dan waras dalam memilih kerajaan. Lihat sahaja Selangor sekarang berbanding dahulu.

“Bagi saya mereka yang terus memilih BN itu yang sepatutnya berubah kepda lebih waras,” katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Petaling Jaya Utara semalam mempersoalkan sama ada pengundi di Selangor sudah gila ekoran memilih Pakatan dalam dua pilihan raya sebelum ini.

=EZY=