Categories
SELANGOR

‘Selangor Commvergence MBI & Media Selangor’ medan interaksi terbaik media Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 OGOS: Program ‘Selangor Commvergence MBI & Media Selangor’ menyediakan ruang interaksi terbaik kepada kumpulan pegawai komunikasi dalam Kerajaan Negeri.

Selain itu, aktiviti dijalankan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu juga dapat mengeratkan hubungan antara satu sama lain juga medan berkongsi ilmu dan pandangan demi kebaikan bersama.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat MBI, Haniza Abd Aziz berkata, program itu nyata membawa manfaat berguna kepada semua pihak yang terbabit secara langsung dalam sistem perhubungan awam dan media Selangor.

“Tujuannya adalah menyediakan satu landasan untuk kita berinteraksi supaya lebih mengenali antara satu sama lain dan terpenting dapat menyampaikan informasi utama daripada Kerajaan Negeri serta organisasi berkaitan.

“Ia juga bagi memberi perkembangan terkini kepada rakan komunikasi di organisasi lain di dalam Selangor mengenai inisiatif atau produk juga promosi ingin disampaikan,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui dalam program diadakan di The Saujana Hotel, Subang, di sini, semalam.

MBI (1)Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam, Shahrin Ahmad berkata, pelaksanaan program itu memberi ruang kepada semua pihak menyuarakan pandangan dan cadangan ke arah penambahbaikan dalam urusan kerja masing-masing.

“Di samping itu, fasilitator yang memberi ceramah dilihat sebagai nilai tambah untuk mengenal pasti pendekatan baru yang ada mungkin boleh diguna pakai dalam kerja seharian.

“Saya harap program sebegini dapat diadakan secara lebih kerap dan berkala supaya dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

Bagi Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Norhayati Ahmad, penganjuran program terbabit dianggap tepat pada masanya kerana ia membuka ruang kepada pegawai perhubungan awam dan komunikasi mengetahui perkembangan terbaru termasuk berkaitan media sosial.

“Dengan adanya program ini, kita dapat meningkatkan lagi pengetahuan dalam menggunakan media sosial dan medium sesuai dalam mempromosikan Pihak Berkuasa Tempatan masing-masing.

“Diharap, program ini dapat disertai lebih banyak pihak dan agensi berkaitan dalam program akan datang juga daripada segi penyampaian, penggunaan bahasa Malaysia dialu-alukan tetapi bukan masalah dalam penggunaan bahasa lain kerana ia dijalankan secara santai serta tidak formal,” katanya.

Hampir 100 pegawai perhubungan awam dan komunikasi menyertai ‘Selangor Commvergence MBI & Media Selangor’ diadakan itu.