Categories
PBT PELANCONGAN SELANGOR

Smart Partnership bangun semula Jeti Pekan Lama Kuala Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 24 OGOS: Kaedah ‘Smart Partnership’ membolehkan Jeti Pekan Lama Kuala Selangor dibangunkan semula selepas hampir 10 tahun terbiar.

Yang DiPertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, usaha membina dan membaik pulih jeti berkenaan membabitkan kos hampir RM500,000 yang dikongsi bersama syarikat Sky Mirror Tour & Travel Sdn Bhd.

Katanya, ia dilaksanakan secara Build Operate Transfer (BOT) bagi tempoh sepuluh tahun, bermula 28 Oktober 2016 sehingga 27 Oktober 2026.

JETI LAMA (2)“Kita melihat terdapat keperluan sangat mendesak membangunkan jeti ini memandangkan ia menyediakan akses ke lokasi tarikan pelancongan, di Permatang Angsa.

“Maka kita jalinkan ‘smart partnership’ ini dengan sebahagian kawasan ditadbir MDKS dan dibuka kepada umum, manakala sebahagian lagi pihak swasta,” katanya kepada SelangorKini selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jeti Pekan Lama Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Sebelum ini, kawasan beting pasir di Sasaran, Sungai Buloh yang dikenali sebagai Permatang Angsa menjadi tular kepada pelancong dalam dan luar negara.

Ia ekoran keunikan fenomena ‘Salar De Uyuni’ iaitu pantulan imej seakan cermin yang hanya berlaku setiap tiga hari awal bulan dan lima hari terakhir, hujung bulan.

Ia adalah satu-satunya lokasi dengan keunikan pantulan cermin di seluruh Asia seperti terdapat, di Bolivia.