Categories
SUKANKINI

Sven Gartung: Kesilapan mudah perangkap PKNS FC

LEH AFIX REDZUAN

IPOH, 6 OGOS: Jurulatih PKNS FC, Sven Gartung tidak mampu menyembunyikan kekecewaan susulan kekalahan terbaru 2-0 kepada Perak dalam tempoh seminggu pada aksi Liga Super di Stadium Perak semalam.

Meskipun pemainnya mempamerkan aksi cemerlang pada babak pertama, tetapi kesilapan mudah pada awal babak kedua mengubah rentak permainan Red Ants.

“Kita banyak ‘membantu’ Perak untuk menjaringkan dua gol malam ini (semalam) tambahan kita gagal menyempurnakan sepakan penalti.

“Kita perlu menilai semula persembahan bagi menghadapi baki saingan,” katanya.

Menurutnya, membenarkan pemain Perak memegang bola terlalu lama memberikan kesan besar kepada mereka kerana PKNS FC sedia maklum Perak akan cuba menggunakan hantaran jauh bagi merencana serangan.

“Pada pandangan saya kita kehilangan bola terlalu mudah. Walaupun cuba merencana serangan di bahagian depan tetapi ketinggalan 2-0 adalah sukar untuk kita bangkit,” katanya.

Bagi ketua pasukan PKNS FC, Mohd Fauzan Dzulkifli, kekeliruan komunikasi di barisan pertahanan menyebabkan mereka terpaksa melepaskan gol pertama buat Perak dengan mudah.

Katanya, adalah tidak adil untuk menyalahkan rakan yang lain namun beliau percaya PKNS FC akan memandang ke hadapan bagi mengutip mata dalam baki perlawanan Liga Super.

Bagi Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic beliau menyifatkan PKNS FC bukan satu lawan yang mudah meskipun merakamkan tiga kemenangan berturut-turut sejak mengendali pasukan.

Katanya, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan pemainnya selain berazam untuk mengejar pasukan kelompok atas bagi menduduki tempat terbaik Liga Super musim ini.

=EZY=