Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada kompromi buat dalang aktiviti sampah haram

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 4 OGOS: Kerajaan Negeri tegas dengan pendirian tidak berkompromi terhadap pemilik tanah persendirian atau penceroboh tanah kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti pembuangan sampah haram.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau kesal kerana masih terdapat pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah di tapak milik kerajaan dan individu hingga mengakibatkan keadaan tanah rosak selain menyusahkan penduduk setempat.

“Bagi pemilik tanah individu yang membenarkan aktiviti ini dijalankan sekian lama, Notis 7A sudah dikeluarkan yang memberikan amaran kepada mereka untuk memulihkan semula tanah tersebut dan notis tamat pada 7 Ogos ini.

IMG-20170804-WA0066“Tetapi pemilik tanah tidak datang berunding dengan Pejabat Tanah. Saya mengarahkan pada 8 Ogos ini tindakan selanjutnya diambil untuk merampas tanah tersebut dan menjadi milik Kerajaan,” katanya.

Mohamed Azmin melakukan tinjauan dan menerjah Tapak Pelupusan Sampah Secara Tidak Sah atas Tanah Kerajaan di Tanah Rancangan Revolusi Hijau, Jenderam Hilir (Nam Tak), Mukim Dengkil, Daerah Sepang.

Bagi tanah milik kerajaan yang dijadikan kawasan aktiviti pembuangan sampah haram pula, beliau sudah mengarahkan Worldwide Holdings Berhad untuk masuk membersihkan kawasan itu minggu ini kerana sampah telah masuk ke dalam lombong.

IMG-20170804-WA0067Keadaan itu boleh membahayakan sumber air mentah Negeri Selangor kerana berdekatan dengan Sungai Langat.

Mohamed Azmin menjelaskan, ketua kampung di kawasan sekitar juga diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya melihat kelibat lori keluar-masuk menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram.