Categories
GLOBAL

Afrika rugi RM1 bilion kerana tutup Internet

JOHANNESBURG 30 SEPT: Kerajaan di sub-Sahara Afrika menanggung kerugian kira-kira AS$237 juta (RM1 bilion) sejak 2015, susulan tindakan mereka menutup perkhidmatan Internet.

Menurut laporan kajian, sekurang-kurangnya 12 negara menutup operasi Internet, terutama sebelum pilihan raya atau ketika berlakunya bantahan, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Antaranya, langkah Togo menggantung khidmat rangkaian Internet mudah alih sewaktu demonstrasi yang dijalankan oleh pihak pembangkang.

“Gangguan Internet, walaupun hanya bagi tempoh jangka pendek tetap menjejaskan ekonomi, mengganggu perkhidmatan kritikal, merosakkan keyakinan pelanggan dan mendedahkan negara kepada risiko,” menurut laporan itu.

Laporan itu dikeluarkan oleh Kerjasama Antarabangsa Dasar Teknologi, Komunikasi dan Maklumat bagi Timur dan Selatan Afrika (CIPESA).

Laporan oleh CIPESA itu dikeluarkan dalam persidangan kebebasan Internet di Johannesburg.

“Kerajaan Afrika harus berhenti daripada mengeluarkan arahan untuk menutup kemudahan Internet kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada kebajikan dan kehidupan rakyat,” kata laporan itu.

=EZY=