Categories
SELANGOR

Bantu secara konsisten bukan tunggu pilihan raya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Negeri mengalukan bantuan sejumlah RM7 juta kepada pangsapuri Desa Perangsang, Taman Medan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad bagaimanapun mahu Kerajaan Persekutuan tidak hanya membantu ketika menjelang pilihan raya sahaja.

Sebaliknya, katanya, bantuan secara konsisten dijalankan segera tanpa memilih waktu.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa komited dalam membantu penduduk dan mengucapkan ribuan terima kasih diatas keprihatinan Kerajaan Pusat untuk membantu penduduk pangsapuri Desa Perangsang di DUN Taman Medan.

“Kerajaan Negeri berharap agar pembaikan dapat dijalankan dengan segera tanpa menunggu tarikh pilihan raya kerana ia sangat penting untuk membantu penduduk di pangsapuri Desa Perangsang itu,” katanya.

Iskandar berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar berhubung cadangan membaikpulih Flat Desa Perangsang, Taman Medan, Petaling Jaya oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos RM7 juta.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya mencontohi Kerajaan Negeri yang sentiasa membantu rakyat setiap masa bukan hanya apabila musim pilihan raya tiba.

Katanya, Kerajaan Negeri memberi bantuan pembaikan melalui Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) kepada flat itu sejak 2011, setahun selepas Skim CERIA dilancarkan pada 2010.

Antara bantuan yang diberikan kepada Flat Desa Perangsang ialah pembaikan enam buah lif (RM119,686.00), pembaikan tangki air (RM114,904) dan pembaikan pagar (RM204,315.00).

“Jumlah keseluruhan bantuan yang sudah diberikan kepada Flat Desa Perangsang ialah RM438,905.

“Jumlah besar peruntukan yang dibelanjakan untuk seluruh Selangor di bawah Skim CERIA sejak 2010 adalah RM85.3 juta yang meliputi bantuan pembaikan bagi 263 pembangunan berstrata,” katanya.

Pangsapuri Desa Perangsang itu mempunyai tujuh buah blok. Ia dibangunkan oleh pemaju swasta dan bukan pemaju yang ada kaitan dengan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS), seperti yang didakwa oleh berita itu.

=EZY=