Categories
KENYATAAN MEDIA

BNM digesa guna kuasa terhadap individu terbabit 1MDB

OLEH: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Bank Negara Malaysia yang memberi maklumbalas rasmi kepada satu memorandum dari ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang dihantar pada 2 Ogos lalu.

Sementara saya terkejut dengan jumlah penalti yang dikenakan iaitu RM115.8 juta, saya ingin menarik perhatian rakyat bahawa Bank Negara Malaysia belum menggunakan sepenuhnya kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk berlaku adil kepada rakyat dalam skandal 1MDB ini.

Saya menyeru pengurusan Bank Negara Malaysia menyertai rakyat Malaysia yang lain dalam mempertahankan kebebasan Bank Negara Malaysia sebagai institusi penguatkuasa yang bebas untuk mengelakkan skandal kewangan yang serupa berulang di masa akan datang.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)Sebab itu saya berpendapat adalah wajar Bank Negara Malaysia menggunakan sepenuh kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 seperti berikut:

1. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(3)(b) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda sebanyak RM5 juta atau tidak lebih dari tiga kali jumlah wang yang terlibat di dalam setiap kesalahan yang dilakukan 1MDB;

2. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(5) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda atau apa-apa hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini ke atas pengarah, pengurusan kanan dan mana-mana orang perseorangan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan 1MDB.

Setakat ini, Bank Negara Malaysia hanya menggunakan kuasa di bawah Fasal 234(3)(b) untuk mendenda 1MDB dan entiti-entiti berkaitan sebanyak RM115.8 juta.

Malangnya, tindakan mengenakan denda ke atas 1MDB sebenarnya samalah seperti mendenda rakyat Malaysia kerana segala tanggungan hutang dan denda ke atas 1MDB kini ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Dari denda berjumlah RM115.8 juta ini, laporan media ada menyebut bahawa RM53.7 juta telah dikenakan terhadap AmBank kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Saya ingin mendapat kepastian sama ada baki berjumlah RM62.1 juta yang telah dikenakan sudah dibayar, dan jika ya, siapa yang telah membayarnya.

Jika 1MDB atau entiti berkait 1MDB yang membayarnya, ini bermakna sudahlah rakyat Malaysia menjadi mangsa penyelewengan dana rakyat di dalam 1MDB, kini rakyat Malaysia terpaksa juga menanggung denda yang dikenakan ke atas 1MDB.

Oleh itu, saya sendiri sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan akan membuat laporan polis minggu depan untuk membolehkan Bank Negara Malaysia menyiasat Dato’ Sri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB (dahulu dan sekarang) serta pengurusan kanan 1MDB (dahulu dan sekarang) di bawah Fasal 234(5).

Perlu diingatkan bahawa pada ketika pelbagai dakwaan terhadap 1MDB ini berlaku, Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB menyatakan bahawa sebarang komitmen kewangan 1MDB memerlukan kebenaran bertulis YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

Secara logiknya, jika Bank Negara Malaysia sudah pun mengenakan denda sehingga RM115.8 juta ke atas 1MDB, itu bermakna berlaku banyak pelanggaran undang-undang dalam urusan 1MDB.

Sudah tentu urusniaga dan tindakan yang melanggar undang-undang ini dibuat atas arahan seseorang atau sesuatu pihak kerana 1MDB bukanlah satu makhluk yang bertindak sendiri.

Maka, apabila Bank Negara Malaysia sudah mengenakan denda di bawah Fasal 234(3)(b) ke atas 1MDB sebagai badan korporat, ia mesti juga disertai dengan tindakan di bawah Fasal 234(5) ke atas individu yang bertanggungjawab memberikan arahan sehingga menyebabkan 1MDB melanggar peraturan-peraturan di bawah akta.

Saya berharap pengurusan Bank Negara Malaysia tidak akan berdolak dalih mengenai perkara ini.

Jika pun pengurusan Bank Negara Malaysia tidak berani mengambil tindakan ke atas Dato’ Seri Najib, sekurang-kurangnya ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan perlulah dikenakan tindakan.

Pakatan Harapan tidak akan membiarkan rakyat dihukum kali kedua dengan tindakan denda ke atas 1MDB sementara individu di belakangnya dibiarkan terlepas.
* Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia & Presiden Pakatan Harapan