Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia cecah paras tertinggi sejak Julai 2015

NEW YORK 26 SEPT: Harga minyak dunia melonjak lebih tiga peratus dengan Brent mencecah paras tertingginya dalam tempoh lebih dua tahun.

Peningkatan itu didorong beberapa faktor, terutama perakuan pengeluar minyak utama dunia bahawa pasaran global kini dalam proses kembali seimbang selain ancaman Turki untuk menyekat minyak daripada rantau Kurdistan Iraq ke pelabuhannya.

Kontrak penanda aras antarabangsa, Brent bagi November naik AS$2.16, atau 3.8 peratus kepada AS$59.02 setong iaitu paras tertingginya sejak Julai 2015, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Dagangan bagi kontrak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate (WTI) bagi November pula naik AS$1.56, atau tiga peratus kepada AS$52.22 setong iaitu paras tertingginya sejak April.

minyak-dunia-naikJurang antara WTI dan Brent semakin meluas kepada AS$6.61, iaitu paras paling ketara sejak Ogos 2015.

Turki dalam pengumumannya berkata ia akan melaksanakan pemotongan bekalan menerusi saluran paip yang membawa minyak dari utara Iraq ke pasaran global.

Ia sekali gus memberi kesan lebih besar kepada rantau Kurdish yang bergelut menjayakan referendum kemerdekaannya.

Kerajaan Iraq tidak mengiktiraf referendum itu dan meminta campur tangan negara asing untuk memberi tekanan dengan menghentikan import minyak Kurdish.

“Sekiranya saranan boikot ini berjaya sekitar 500,000 tong minyak mentah akan berkurangan setiap hari daripada pasaran minyak global,” kata Commerzbank dalam notanya.

=EZY=