Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia meningkat

TOKYO 20 SEPT: Harga minyak meningkat lagi pada Rabu selepas Menteri Minyak Iraq berkata Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar minyak mentah yang lain sedang mempertimbang untuk melanjutkan pengurangan bekalan bagi membendung lebihan global.

Kenyataan itu dibuat walaupun laporan menunjukkan peningkatan lebih kecil daripada jangkaan berlaku dalam inventori Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Niaga hadapan US West Texas Intermediate (WTI) meningkat 34 sen kepada AS$49.82 setong. Semalam, kontrak berkenaan menyusut AS$0.43 kepada AS$49.48.

Niaga hadapan Brent pula meningkat 24 sen kepada AS$55.38. Ia ditutup susut 34 sen kepada AS$$55.14 setong dalam sesi terdahulu, tidak jauh daripada paras tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh lima bulan iaitu AS$55.99.

HARGA MINYAKKetika alternatif sedang dipertimbang oleh OPEC dan pengeluar lain termasuklah lanjutan pengurangan hasil setiap bulan, ia masih awal untuk menentukan apa akan berlaku selepas bulan Mac depan selepas perjanjian itu tamat tempoh, kata Menteri Minyak Iraq, Jabar al-Luaibi pada persidangan tenaga yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu semalam.

OPEC dan pengeluar lain termasuk Russia bersetuju untuk mengurangkan hasil sebanyak 1.8 juta tong sehari sehingga Mac 2018 dalam usaha untuk mengurangkan inventori minyak global dan menyokong harga.

Beberapa pengeluar berpendapat perjanjian itu patut dilanjutkan bagi tiga atau empat bulan lagi, dan segelintir lagi mahukan lanjutan sehingga akhir tahun depan manakala pengeluar lain termasuk Ecuador dan Iraq menyatakan perlu ada satu pusingan pengurangan bekalan lagi, kata al-Luaibi.

=EZY=