Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia turun sedikit

NEW YORK 19 SEPT: Harga minyak mentah global susut sedikit pada Isnin tetapi masih kekal hampir kepada paras tertinggi untuk tempoh beberapa bulan berikutan peniaga melihat potensi peningkatan bekalan, yang dijangka berlaku akhir minggu ini.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan niaga hadapan Brent ditutup AS$0.14 lebih rendah kepada AS$55.48 setong, menghampiri paras tertinggi dalam tempoh lima bulan yang dicatatkan pada Khamis lalu, AS$55.99.

U.S. West Texas Intermediate (WTI) pula ditutup naik AS$0.02, hampir kepada paras tertinggi dalam tempoh empat bulan yang dicatatkan Khamis lalu, AS$50.50.

“Mereka masih menganalisa kesan taufan. Perkara besar minggu ini adalah mengenai laporan inventori yang akan menjadi penentu harga minyak mentah,” kata penganalisis di Again Capital Management di New York, John Kilduff.

Katanya, walaupun kilang penapisan mula beroperasi, import di pelabuhan yang dibuka semula dilihat akan melonjakkan bekalan.

Kilang penapisan di Teluk Mexico dan Carribean mula beroperasi selepas ditutup susulan taufan Harvey dan Irma melanda rantau berkenaan dalam tempoh tiga minggu lalu.

Loji penapisan Deer Park milik Royal Dutch Shell Plc di Texas adalah antara yang terbaharu memulakan semula operasi pada Ahad lalu.

Loji berkenaan boleh memproses 325,700 tong minyak sehari.

Walaupun kilang penapisan mula meningkatkan permintaan, lebih banyak pengeluaran datang dari dalam talian di Amerika Syarikat (AS).

Pengeluaran minyak syal AS bagi Oktober dijangka meningkat kepada 79,000 tong sehari kepada 6.09 juta tong sehari, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga AS dalam laporan bulanannya pada Isnin.

=EZY=