Categories
EKONOMI

MAS dilandasan tepat catat keuntungan

KUALA LUMPUR 9 SEPT: Malaysia Airlines, yang berjaya meningkatkan faktor muatan penumpang tahun ke tahun sebanyak 16.9 peratus pada suku kedua 2017 berbanding suku sama pada 2016 dalam keadaan persaingan yang semakin meningkat, masih berada di landasan untuk mencatat keuntungan pada 2018.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Malaysia Airlines berkata kumpulan itu akan terus berhati-hati dalam mengawal kapasiti dan telah mengurangkan kekerapan laluan domestik.

Faktor muatan penumpang kekal kukuh pada suku kedua 2017 dengan syarikat penerbangan itu mengekalkan disiplin tambang walaupun penurunan yang ketara dalam tambang pesaing, katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata pemulihan dalam perniagaan antarabangsa berterusan pada suku kedua 2017 dengan faktor muatan sebanyak 78.8 peratus berbanding 67.4 peratus pada suku kedua 2016.

Faktor muatan perniagaan domestik merosot disebabkan lebihan kapasiti, katanya.

mh-masKetua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Peter Bellew, berkata syarikat penerbangan itu akan terus fokus kepada China, yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar.

“Laluan baharu syarikat penerbangan itu, Fuzhou, Nanjing and Wuhan, yang dilancarkan pada Jun, telah menunjukkan angka yang menggalakkan bagi tempoh awal masing-masing,” katanya.

Mengenai masa depan, Bellew berkata syarikat penerbangan itu akan terus menumpukan kepada penambahbaikan perkhidmatan dengan penetapan harga yang lebih baik.

“Kami telah melihat kemajuan ini melalui peningkatan sebanyak 2.6 peratus bagi tambang purata domestik,” katanya.

Malaysia Airlines berkata kumpulan itu mengekalkan unjuran berhati-hatinya bagi tahun fiskal 2017.

Katanya perang harga yang agresif di pasaran domestik dijangka berterusan dengan ringgit lemah dan harga minyak yang tinggi menambah kepada persekitaran kos yang sedia mencabar.

“Tempahan awal jauh lebih kukuh pada 2017 berbanding 2016, bagaimanapun, syarikat penerbangan itu melihat tekanan hasil di semua laluan susulan tambang rendah boleh didapati daripada kebanyakan syarikat penerbangan legasi dan syarikat penerbangan tambang rendah tradisional,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia meneroka pelbagai pilihan pesawat kerangka besar, untuk penyerahan yang dijangka pada 2018 dan 2019, untuk memenuhi pertumbuhan pesat jualan antarabangsa yang memerlukan tambahan pesawat kerangka besar.

“Perbincangan diteruskan dengan beberapa pemberi pajak, syarikat penerbangan lain dan pengeluar pesawat untuk mendapatkan pesawat yang berkualiti dan sistem hiburan dalam penerbangan yang berkualiti tinggi.

“Syarikat penerbangan itu berharap untuk menerima enam pesawat Airbus 350 baharu yang dipajak daripada Air Lease Corp, dengan pesawat A350 pertama dijadual tiba pada akhir 2017,” katanya.

Pesawat A350 akan digunakan dalam perkhidmatan Malaysia Airlines ke London Heathrow mulai suku pertama 2018 dan dijangka menghasilkan kos operasi yang lebih cekap di laluan itu, katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia sedang menilai penggunaan pesawat A380 seawal suku keempat 2018 bagi perkhidmatan untuk haji dan umrah di Arab Saudi.

SUMBER: BERNAMA