Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parlimen perlu lebih kuasa elak PM terlalu berkuasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penganalisis politik berpendapat Parlimen perlu diberi kuasa mencabar keputusan penting dibuat Perdana Menteri termasuk isu perlantikan jawatan penting.

Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, ia boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan kuasa berlebihan Perdana Menteri.

“Sepatutnya keputusan Perdana Menteri mesti ada kuasa parlimen kemudiannya, tak patut berhenti di peringkat Perdana Menteri dan kemudiannya Yang Dipertuan Agung supaya parlimen berhak mencabar keputusan itu sekiranya tidak berpuas hati dengan sesuatu keputusan Perdana Menteri.

“Di Amerika, walaupun presiden berhak melantik dalam sesuatu jawatan penting seperti Peguam Negara misalnya tetapi akhirnya parlimen atau kongres berhak untuk mencabar dan menolak lantikan itu dengan sebab tertentu melalui undian ahli kongres,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

parlimenKata Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu, pada masa ini perlantikan jawatan penting itu dibuat berdasarkan perkenan Yang Dipertuan Agung selepas mendapat nasihat Perdana Menteri.

Katanya, cadangan Pakatan Harapan menghadkan pemegang jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun atau dua penggal merupakan keputusan tepat.

“Kita tidak boleh menidakkan kuasa Perdana Menteri kerana sudut politiknya memang Perdana Menteri berkuasa memilih sesiapa dikehendakinya apabila dia menang hasil dipilih rakyat tetapi terlalu banyak kuasa menyebabkan cenderung untuk salah gunakan kuasa.

“Misalnya Amerika Syarikat maksimum lapan tahun sahaja tak kira kamu sihat lagi atau kamu muda lagi, kamu wajib letak jawatan dan begitu juga Indonesia lima campur lima tahun lagi iaitu maksimum dua penggal kerana dalam teorinya kalau lebih dua penggal dia berpotensi untuk korup atau salah gunakan kuasa kerana dia terlalu bersifat autorian,” katanya.

=EZY=