Categories
EKONOMI SELANGOR

Penganjuran konvensyen pelaburan paling berjaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 17 SEPT : Selangor International Business Summit (SIBS 2017) disifatkan sebagai penganjuran konvensyen pelaburan paling berjaya sejak ia mula diperkenalkan 2015 lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kejayaan itu mendorong Selangor untuk terus kekal membuka peluang pelaburan dari luar ke negeri itu.

“Sidang kemuncak ini memberi gambaran jelas bahawa ia dijayakan dengan begitu cemerlang seiring kemampuannya menjadikan persidangan ini sebagai landasan utama bagi pelabur dan usahawan untuk mengambil sebarang peluang pelaburan dan keusahawanan di rantau ini.

“Di samping itu, dapat juga dirumuskan bahawa penganjuran kali ini juga mencapai matlamat Selangor untuk memperkukuh kerjasama ASEAN dan negara-negara serantau,” katanya.

IMG_20170917_154116Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup SIBS 2017 di Setia City Convention Centre, di sini petang ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

Dalam perkembangan itu katanya, persidangan tahun ini menerima lebih 10,000 pengunjung sepanjang persidangan 6 hingga 16 September itu berlangsung.

Jumlah itu katanya, sekali gus melepasi sasaran kedatangan jumlah pengunjung bagi tempoh sama tahun lalu.

“Pertumbuhan ini juga mendorong untuk kami di peringkat Kerajaan Negeri dan Invest Selangor untuk meneruskan persidangan ini pada September tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, persidangan antarabangsa itu melibatkan pembahagian tiga komponen utama iaitu penganjuran Forum Smart City, Forum Smart & Green City dan Forum Perdagangan Elektronik.

Menariknya, ia turut melibatkan organisasi dan syarikat dari dalam dan luar negara daripada pelbagai komponen industri pelaburan serantau.

=EZY=