Categories
PBT SELANGOR

Penutupan SATS: MPAJ jimat RM168,000 sebulan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mampu menjimatkan kos sehingga RM168,000 sebulan dengan menghentikan penghantaran sampah ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal (Shah Alam Transfer Station-SATS).

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussein berkata, pemberhentian operasi SATS juga tidak menjejaskan operasi kutipan sisa pepejal yang kini diuruskan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

Katanya, kesemua kompektor KDEBWM juga mengamalkan kaedah ‘satu hari satu trip’ bagi penghantaran ke Tapak Pelupusan Jeram.

“Dengan kaedah itu, perjalanan lebih jauh ke Jeram tidak menjejaskan kerja kutipan dalam kawasan malah kita boleh lebih jimat hampir 50 peratus.

“MPAJ juga buat masa ini tidak menerima sebarang tuntutan tambahan daripada kontraktor dilantik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Pendengaran Tertutup Jawatankuasa Pilihan Mengenai PBT (JP-PBT) mengenai Implikasi Pemberhentian Operasi SATS, di sini, pada 21 September lalu.

Pendengaran lebih dua jam itu dipengerusikan Dr Idris Ahmad (Ahli Dewan Negeri Ijok) dan disertai ahli jawatankuasa lain iaitu R. Rajiv (Bukit Gasing), Ng Tien Chee (Balakong) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

Sejak hujung Julai lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menamatkan kontrak syarikat pengendali dilantik Kerajaan Negeri di tapak pelupusan berkenaan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ia ditamakan 21 Mei 2017 selepas tidak berpuas hati dengan hasil kerja Worldwide Holdings Berha (WHB).

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah menafikan dakwaan itu dan menegaskan WHB tidak pernah menerima sebarang aduan berkenaan pengurusan dan perkhidmatan daripada pihak berkenaan.

Ia termasuk aduan PBT, KPKT mahupun agensi terlibat dalam pengoperasian SATS seperti SWCorp, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

=EZY=