Categories
SELANGOR

Rahsia ‘dua gaya’ Pantai Morib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 SEPT : Pertama kali berkunjung ke Pantai Morib, matlamat asalnya hanya untuk meneroka keindahan landskap pantai luar penempatan Lembah Klang.

Bagaimanapun, selepas menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke kawasan itu, penulis Goh Yong Chuan punya tafsirannya sendiri terhadap keunikan pantai itu.

Beliau menganggap Pantai Morib sebagai sebuah taman kota yang cukup sinonim menjadi destinasi pilihan cuti hujung minggu warga tempatan.

MORIB 1“Di sini terdapat dataran, padang, gazebo, tapak permainan kanak-kanak, peralatan sukan, pameran kesenian, pusat penjaja, kedai-kedai, gerai cenderamata dan sebagainya.

“Kemudahan ini sememangnya lengkap seperti sebuah taman kota. Bangunan tinggi tidak kelihatan di sini, tetapi panorama laut yang terbentang luas ditambah dengan angin laut sepoi-sepoi bahasa menjadikan Pantai Morib pilihan kegemaran pengungjung beriadah.

“Pantai Morib menawarkan taman pantai dengan kemudahan lengkap, pantai semula jadi dan pemandangan hutan paya bakau.

“Pantai Morib sememangnya sebuah pantai dengan dua jenis gaya tersendiri,” tulisnya dalam buku, Terokai Kehijauan Selangor.

MORIB 2Cerita Yong Chuan, Pantai Morib juga menggambarkan dimensi ketenangan yang mampu memberi suasana baru untuk lari daripada kesibukan warga kota.

“Ketika kunjungan ke Pantai Morib juga, air lautnya surut sejauh beberapa ratus meter, Pantai ini dipenuhi dengan ketam-ketam dan burung persisiran pantai yang kelihatan sedang mencari makanan.

“Tidak jauh di persisiran air laut cetek, kelihatan ramai orang sedang mengutip kepah. Ia sungguh memberi makna,” tulisnya lagi.

Pantai Morib terletak di pantai barat Selangor dengan jarak 12 kilometer di Selatan Pekan Banting serta 45 kilometer di utara Sepang.

MORIB 3Terdahulu, Yong Chuan menjelajahi seluruh bukit, pantai, hutan dan perkampungan di Selangor bagi penghasilan buku Terokai Kehijauan Selangor hasil usahasama Kerajaan Negeri dan Tourism Selangor.

Inisiatif penghasilan buku itu diwujudkan bagi mempromosikan eko pelancongan negeri kepada pelancongan tempatan dan antarabangsa.

Buku setebal 200 muka surat itu dijual pada kadar serendah RM25.00 dan boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negeri.