Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin bangga atlet Selangor bantu negara juarai KL2017

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 11 SEPT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengucapkan tahniah kepada atlet Selangor yang menyumbang pingat dan membantu negara muncul juara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Baginda melahirkan rasa bangga atas pencapaian itu dan berharap ia bukan pengakhiran selain mahu semua atlet terus berlatih dengan lebih gigih serta meletakkan sasaran kejayaan lebih tinggi selepas ini.

“Beta difahamkan atlet dari Selangor berjaya menyumbang 41 pingat emas, 28 (pingat perak) dan 28 (pingat gangsa). Jumlah ini adalah satu sumbangan signifikan kepada kejayaan Malaysia meraih tempat pertama dalam Sukan Sea lalu.

“Beta berharap di masa akan datang, atlet dari Selangor dapat menyumbangkan pingat lebih banyak lagi pada acara sukan berprestij, di peringkat antarabangsa,” titahnya.

INSENTIF SUKAN SEA (2)Sultan Selangor bertitah demikian ketika berangkat mencemar duli hadir bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin di Majlis Penyerahan Insentif kepada atlet dan jurulatih Selangor yang mewakili negara di Kejohanan Sukan Sea Kuala Lumpur ke-29 bertempat di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan insentif RM540,000 yang disediakan Kerajaan Negeri kepada atlet dan jurulatih dengan pemenang pingat emas memperoleh RM5,000, pingat perak (RM3,000) serta pingat gangsa (RM2,000).

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Haji Mohd Zubir Idrus.

Dalam titah ucapannya, baginda turut menyatakan berkesempatan menyaksikan beberapa acara sukan ketika Sukan Sea berlangsung dan melihat sendiri kesungguhan setiap atlet negara berusaha untuk memperoleh kejayaan demi mengharumkan nama negara.

INSENTIF SUKAN SEA (4)Sultan Sharafuddin yang bangga dengan pencapaian anak Selangor pada Suksan Sea berharap potensi yang berjaya dikenal pasti dikekalkan untuk kejayaan, pada masa depan.

Baginda percaya itu semua adalah hasil usaha gigih daripada guru dan jurulatih di peringkat sekolah dalam mengesan bakat serta melatih sehingga ke tahap dibanggakan.

“Beta kagum dengan komitmen dan kegigihan jurulatih yang tidak jemu menawarkan kepakaran serta berkongsi pengalaman ketika melatih saudara juga saudari semua. Beta yakin semua ini tidak mampu kita capai tanpa kemudahan disediakan pihak kerajaan dan swasta.

“Kerajaan Negeri juga banyak melabur untuk menyediakan kemudahan sukan berkualiti tinggi termasuk kompleks latihan, pusat komuniti sukan, padang bola dan balapan demi memastikan atlet juga rakyat dapat merasai sendiri aktiviti pembangunan sukan di setiap peringkat.

“Beta menyeru MSN Selangor supaya memberi tumpuan dan fokus dalam melahirkan atlet yang mampu meraih emas dalam acara utama di peringkat antarabangsa khususnya di Sukan Olimpik serta Sukan Komanwel seperti olahraga, berbasikal, gimnastik juga ekuestrian,” titahnya.

Titah baginda, ternyata sukan bukan sahaja mampu melahirkan individu sihat dan cergas, malahan boleh dijadikan sebagai kerjaya yang boleh membanggakan keluarga, masyarakat serta negara.