Categories
PBT SELANGOR

Tindakan terhadap OBike selaras peruntukan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 SEPT: Kerajaan Negeri menafikan mengambil tindakan tergesa-gesa dalam isu merampas sebanyak 261 buah basikal milik syarikat perkongsian basikal OBike (M) Sdn Bhd, baru-baru ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, tindakan dilakukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan selain tidak mempunyai lesen.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan semua pihak menggunakan perkhidmatan awam termasuk basikal kongsi itu namun ia perlu mengikut undang-undang yang ditetapkan.

“Kita sudah menyemak tindakan MBPJ itu mengikut proses undang-undang ditetapkan. Operasi perkhidmatan basikal kongsi oleh syarikat ini juga tidak mempunyai lesen dan MBPJ sebelum ini sudah mengeluarkan notis kepada pihak itu pada 25 Ogos sebelum tindakan diambil.

OBIKE1“Bagaimanapun, notis itu gagal dipatuhi sekaligus sitaan dilakukan di bawah Akta 46 1 (d), Akta Jalan Parit dan Bangunan iaitu kesalahan halangan di tempat awam,” katanya di sidang media, di pejabatnya, di sini.

Chang Khim berkata pihak oBike boleh menuntut kesemua basikal yang disita itu dengan membayar denda mengikut kadar ditetapkan atau membuat rayuan pengurangan kadar denda.

Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) akan meneruskan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin.

Baru-baru ini, MBPJ bertindak merampas sejumlah 261 basikal kongsi di sekitar Petaling Jaya kerana beroperasi secara haram selain mencacatkan pemandangan kawasan terbabit ekoran basikal itu diletakkan secara bersepah menyebabkan halangan kepada orang awam.

Perkhidmatan oBike merupakan platform membolehkan pengguna mendapatkan perkhidmatan sambungan antara hab pengangkutan awam.

Bagaimanapun, perkongsian basikal itu tidak dikaji dan disediakan tempat yang sepatutnya menyebabkan pengguna memarkir basikal di mana-mana sahaja.

Setakat ini, oBike sudah mendaftar lebih daripada 100,000 pengguna di Malaysia. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi oBike dan membayar deposit yang dapat dikembalikan sebanyak RM49 dan dikenakan bayaran hanya RM1 untuk setiap 15 minit mereka menggunakan basikal.

=EZY=