Categories
GLOBAL

Erdogan arah mangsa pengeboman di Somalia dirawat di Turki

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 16 OKT: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengarahkan mangsa yang cedera dalam serangan bom terburuk sejarah Somalia yang berlaku di Mogadishu di bawa ke Turki untuk menerima rawatan perubatan.

Perkara demikian dimaklumkan menurut jurucakap Istana Presiden Turki pada Ahad, lapor Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS.

Dalam mesej di akaun Twitternya, Ibrahim Kalin berkata: “Sebuah ambulan udara tentera berlepas hari ini untuk memberi bantuan perubatan dan membawa cedera orang [dari Somalia] ke Turki atas perintah Presiden kami [Recep Tayyip Erdogan]. ”

Media melaporkan seramai 231 dilaporkan terbunuh manakala lebih 275 lagi cedera selepas berlaku pengeboman terbesar di Mogadishu dalam sejarah di Somalia.

Pihak berkuasa negara berkenaan menjangka jumlah kematian akan meningkat selepas kejadian bom menggunakan lori.

Dalam kejadian berhampiran sebuah kementerian utama kerajaan, sebuah lori yang sarat dengan bom diletupkan sehingga menyebabkan ramai terkorban.

Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi menyeru rakyat negara itu tampil untuk membantu.

“Saya merayu semua rakyat Somalia untuk tampil menderma darah. Keluarlah membantu mangsa,” katanya.

=EZY=