Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Jelajah Malaysia: 180 pelumba, 18 pasukan rebut 5 kejuaraan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OKT: Jelajah Malaysia 2017 menyaksikan penyertaan 180 pelumba daripada 18 kumpulan bagi merebut kejuaraan lima teratas perlumbaan berbasikal itu.

Cabaran edisi ke-53 itu dimulakan pagi ini, dengan upacara pelepasan oleh Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Pengerusi Jelajah Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

Hadir sama, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Abu Samad Abdul Wahab dan Presiden UMW Toyota Motor Sdn. Bhd, Ravindran K.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri mendukung sepenuhnya penganjuran siri kejuaraan itu dengan Selangor menjadi destinasi pilihan penganjur bagi lokasi awal permulaan trek.

Jelajah Malaysia“Kerajaan Negeri berbesar hati ia bermula di Selangor dan di pihak Kerajaan Negeri kami memberi sokongan penuh terutamanya untuk memastikan koordinasi bersama jabatan berkaitan.

“Kerjasama agensi ini untuk memastikan laluan dilalui pelumba itu sesuai sepanjang perlumbaan ini berada dalam keadaan terbaik dan selamat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas upacara pelepasan pelumba di Toyota Motor, Seksyen 15, hari ini.

Difahamkan, 70 peratus laluan perlumbaan melibatkan daerah di Selangor antaranya Shah Alam, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Jelajah MALAYSIAAmirudin berkata, perlumbaan itu menjadi dilihat sebagai persediaan awal di pihak Kerajaan Negeri bagi penganjuran Le Tour De Selangor, pertengahan Oktober ini.

Jelajah Malaysia 2017 berlangsung bermula 3 hingga 7 Oktober melibatkan penyertaan peserta tempatan dan luar negara dengan kemuncak laluan trek terakhir di Alor Setar, Kedah.

=EZY=