Categories
RENCANA SELANGOR

Kemajmukan teras perpaduan

OLEH NAZLI IBRAHIM

Perpaduan masyarakat majmuk Selangor berakar umbi lebih 200 tahun lalu

Muktahir ini perpaduan masyarakat majmuk di negara ini diuji lagi. Kali ini dengan kenyataan dan tindakan segelintir golongan tidak bertanggungjawab dan esktremis yang menyentuh sensitiviti perkauman.

Keadaan itu memaksa Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan tegas supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum.

Rentetan daripada kenyataan itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya rakyat Selangor berpegang kepada pendirian Raja-Raja Melayu supaya mengekalkan imej Islam sebagai agama persekutuan yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif.

Baginda juga menyeru umat Islam di Selangor memastikan Islam tidak dicemari tindakan bersifat keterlaluan yang memisahkan rakyat berbilang kaum di negeri termaju itu.

Seruan baginda itu sangat tepat, lebih-lebih lagi sejarah Selangor sendiri jelas membuktikan kemajuan yang dikecapi negeri ini dicapai melalui wujudnya perpaduan di kalangan masyarakat majmuknya.

Negeri Selangor merupakan antara negeri-negeri tua Melayu yang turut mengalami evolusi perkembangan penempatan masyarakat dan pembangunan oleh masyarakatnya yang sangat majmuk.

Bermula dengan penduduk peribuminya yang terdiri daripada masyarakat Melayu penduduk asal Selangor, etnik Melayu lain yang berasal daripada rumpun Kepulauan Melayu yang datang melalui tradisi ‘merantau’ dan diikuti imigrasi oleh kaum Cina serta India, kesemuanya memainkan peranan penting.

 

Tokoh berbilang bangsa sebelum merdeka majukan Selangor

Pembangunan Selangor khasnya Kuala Lumpur pada abad ke-19 dalam pelbagai aspek merupakan kesan peranan yang dimainkan ramai tokoh pelbagai kaum sejak sebelum, semasa dan selepas era kolonial British.

Antaranya, tokoh pedagang, Sutan Puasa; tokoh peneroka, Haji Abdullah Hukum; tokoh pelombong, Yap Ah Loy dan tokoh pengusaha, Doraisamy Pillay.

Setiap tokoh ini mempunyai kebolehan dan kemampuan masing-masing. Mereka ini boleh dianggap sebagai tokoh yang membangunkan Kuala Lumpur melalui kegiatan masing-masing.

Sutan Puasa misalnya, menurut pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, beliau merupakan individu bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur.

Menurut Jurnal Seni Bina Asia Tenggara 2013 oleh Universiti Kebangsaan Singapura yang disiarkan oleh laman academia.edu, Sutan Puasa atau Sutan Naposo berasal dari Mandailing di Sumatera dan menganut agama Islam.

Mengikut catatan Mandailing pula, di akhir hayat Sutan Puasa telah menetap di Kampung Rawa (sekarang Jalan Melayu) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa yang terkenal sebagai pedagang timah meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Manakala Abdullah yang berpengalaman sebagai ketua peneroka, pedagang dan Dato’ Dagang turut meneroka dan membangunkan sebahagian kawasan Kuala Lumpur dan kemudian majoritinya diduduki oleh masyarakat bukan Melayu khasnya Cina.

Abdullah Hukum merupakan tokoh daripada keluarga orang kebanyakkan yang dilantik oleh Sultan Abdul Samad sebagai Dato’ Dagang pada 1896.

Beliaulah tokoh pemimpin masyarakat keturunan Rawa/Kerinchi daripada Sumatera yang juga banyak membuka penempatan Melayu antaranya Kampung Haji Abdullah Hukum di Bangsar, Sungai Putih, Pudu, Setapak, Bukit Bintang, Bukit Nanas dan Bukit Puteri (Angkasapuri termasuk Kampung Kerinchi).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa kerbau dari Pahang, Terengganu dan Klang ke Kuala Lumpur yang kebanyakkannya digunakan di sawah padi di mana sesuatu yang amat penting bagi menjamin bekalan makanan pada masa itu.

Tokoh pelombong, Yap Ah Loy pula memainkan peranan besar dalam memajukan Kuala Lumpur. Beliau pada mulanya diberi kepercayaan sebagai Penolong Kapitan Cina dan kemudiannya sebagai Kapitan Cina ketiga pada 1868 hingga 1885.

Ketokohan Yap Ah Loy sentiasa mendapat perhatian di kalangan sejarahwan barat sehingga ada yang menonjolkan peranan beliau sebagai orang yang membuka Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Khoo berkata, adalah mustahil Yap Ah Loy yang membuka Kuala Lumpur kerana beliau sendiri hanya merupakan kapitan ketiga orang Cina di Kuala Lumpur.

Jelasnya, sebelum aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Katanya, pada masa sama, aktiviti pertanian dan perdagangan turut dijalankan di sekitar kawasan penempatan tersebut.

Sebagai Kapitan Cina, Yap Ah Loy memiliki kebolehan yang melayakkan beliau memimpin masyarakatnya seperti mana tokoh pemimpin Melayu Raja Mahadi, Sutan Puasa, Dato’ Dagang Haji Muhammad Tahir, Abdullah Hukum dan lain-lain.

Pada 1884 Yap Ah Loy jatuh sakit. Beliau berkeras tidak mahu menggunakan perubatan barat tetapi menggunakan perubatan tradisi Cina. Namun akhirnya pada 15 April 1885 beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Walau apapun, nama beliau memang layak tercatat sebagai antara tokoh yang turut berperanan memajukan Kuala Lumpur tetapi bukan membuka Kuala Lumpur.

Demikian juga dengan Doraisamy Pillay yang terkenal sebagai seorang pengusaha dan pemimpin masyarakat India di Kuala Lumpur.

Beliau dikatakan sebagai seorang taikun perlombongan dan kontraktor berbangsa India yang terkenal di Kuala Lumpur dan sumbangannya dalam membangunkan Kuala Lumpur khususnya dalam konteks kehidupan masyarakat India pada masa itu juga bukan sendikit.

Sebenarnya ramai lagi tokoh yang memainkan peranan cukup besar dalam memajukan Selangor dan cabaran yang dilalui mereka untuk menyumbang kepada kemajuan negeri bukan sedikit dan tentunya tidak mudah.

Tidaklah keterlaluan jika tokoh-tokoh lampau ini disifatkan sebagai lambang kemajuan yang dibawa masyarakat majmuk di Selangor sebelum negara mencapai kemerdekaan.

 

Peranan masyarakat terbanyak sebelum merdeka

Bukan sahaja peringkat pemimpin, malahan masyarakat akar umbi pada masa itu turut memainkan peranan penting dalam memajukan Selangor.

Kedatangan orang Melayu nusantara, Cina dan India sama ada untuk berdagang atau untuk terus menetap telah melibatkan pengaliran masuk idea, perkahwinan, pendedahan cara hidup masyarakat lain dan bahasa.

Orang India misalnya, kedatangan mereka ke Selangor sangat rapat kaitannya dengan kepentingan, keperluan pembangunan dan kemajuan negeri pada masa itu.

Pada awalnya orang India diperlukan untuk keperluan ladang kopi dan hanya pada dekad kedua abad ke-20 apabila ladang getah semakin banyak dibuka, kedatangan orang India semakin bertambah.

Selain sektor perladangan, orang India juga banyak terlibat dalam program pembinaan jalan raya, jalan keretapi dan di jabatan-jabatan Kerajaan.

Sebahagian kecil orang India turut tinggal di kawasan bandar sebagai peniaga, menyertai kumpulan pentadbir sokongan dan juga profesional.

Mereka diketahui sangat aktif dalam kegiatan perdagangan sebagai peminjam wang, eksport import, pekedai runcit, barang kemas, kain baju dan lain-lain.

Di beberapa jalan utama peringkat awal di Kuala Lumpur sebahagian besar dipenuhi peniaga India seperti Jalan Brickfield, Jalan Batu dan di Klang Selatan seperti Jalan Besar.

Kawasan Lukut merupakan kawasan lombong bijih terawal di Selangor yang menggunakan buruh Cina. Pelombong Cina dikatakan telah menjalankan aktiviti perlombongan sejak 1815 lagi.

Penglibatan orang Cina dalam aktiviti melombong bijih di negeri Melayu khususnya di Selangor sudah bermula sebelum kedatangan British lagi di mana mereka terlibat mengusahakan lombong bijih milik pembesar Melayu yang semakin meningkat sehingga menyebabkan bekalan sumber manusia tidak lagi dapat menampung permintaan bijih timah yang semakin bertambah.

Manakala masyarakat Melayu pula selain menjadi kaum teras yang menguasai pentadbiran negeri sebelum kedatangan British, mereka juga merupakan petani, peneroka, pedagang dan pelaut.

Sumbangan setiap etnik berbeza ini terhadap kemajuan Selangor berterusan bermula sejak sebelum kedatangan kolonial British, era kolonial British hinggalah selepas merdeka dan sangat signifikan kepada kemajuan Selangor hari ini.

Perpaduan masyarakat majmuk di Selangor ini sudah tentulah tidak mudah dan bukanlah dapat dibina dalam masa sehari dua tetapi telah berakar umbi lebih 200 ratus tahun lalu.

Kegagalan mempertahankan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum hanya mensia-siakan usaha nenek moyang kita dalam membangunkan sebuah masyarakat majmuk bersatu, bertamadun lagi maju.

* Sumber/kredit:
1. ‘Sejarah Negeri Selangor, Dari Zaman Pra Sejarah ke Zaman Kemerdekaan’ terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor.
2. ‘Tawarikh Tanah Melayu 1400-1959’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1969) oleh Joginder Singh Jessy.