Categories
SELANGOR

Lebih RM20.8 juta dibelanja baik pulih lif pangsapuri

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 10 OKT: Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM20.8 juta bagi kerja membaik pulih lif di kawasan perumahan pangsapuri di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata ia sebahagian usaha Kerajaan Negeri di bawah program ‘Selangor Smart Life’ dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta bagi menangani masalah dihadapi penduduk pangsapuri.

“Setakat ini kita telah membelanjakan lebih RM20.8 juta iaitu merangkumi 17 kawasan dengan jumlah 86 unit lif dbaik pulih.

“Pangsapuri Desa Mentari Blok Satu ini adalah antara kawasan dikenal pasti untuk kerja baik pulih,” katanya kepada media selepas lawatan ke pangsapuri itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerja membulih pulih lif di kawasan itu akan dijalankan dengan segera demi kemudahan penduduk.

Katanya, masalah kerosakan lif dikatakan berpunca daripada syarikat mengendalikannya yang didakwa penduduk menggunakan peralatan sedia ada untuk dipasang di lif kawasan lain.

“Kita telah berbincang dengan pihak berkaitan dan kerja baik pulih akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Katanya, peruntukan keseluruhan bagi membaik pulih lif adalah RM22 juta manakala penyelenggaraan sebanyak RM7 juta.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Desa Menteri, Salmi Md Nor merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang menyalurkan peruntukan bagi mengatasi masalah kerosakan lif dipercayai berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Beliau berkata, diharap penduduk bekerjasama dengan JMB bagi membuat bayaran juran penyelenggaraan demu kebaikan bersama.

“Kita mengambilalih pengendalian pangsapuri ini daripada pengurusan sebelumnya pada tahun lalu dan merancang kerja baik pulih di sini secara beransur-ansur.

“Bagaimanapun peruntukan bagi tujuan itu agak terhad maka kita membuat kutipan untuk mengekalkan bayaran utiliti dan berusaha menyelesaikan beberapa hutang tertunggak,” katanya.

Berdasarkan rekod, beliau berkata, hanya sekitar lebih kurang 45 peratus penduduk membuat bayaran yuran tetapi dari segi kutipan memang mencukupi untuk bayaran penyelenggaraan bulanan kerana terdapat penduduk membayar lebih termasuk bayaran tunggakan.

Katanya, blok satu pangsapuri itu sudah berusia 14 tahun dan mempunyai tunggakan kira-kira RM650,000 dengan lebih 60 peratus penduduk menanggung tunggakan lebih RM400,000.

=EZY=