Categories
EKONOMI NASIONAL

Malaysia bantu ekonomi AS tak logik, ‘hanya setitis air di lautan’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OKT: Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk membantu ekonomi Amerika Syarikat (AS) dengan melabur di negara ‘Uncle Sam’ itu menggunakan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan sebagai setitis air di lautan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini berikutan saiz ekonomi AS sendiri jauh lebih besar, pesat dan maju berbanding Malaysia.

“Ekonomi dan infrastruktur dia jauh lebih besar dan maju daripada kita, jadi mengapa kita nak melabur dan bantu negara yang maju walhal yang sepatutnya AS yang bantu ekonomi kita.

“Saya lihat ini tidak munasabah tetapi laburlah dalam sektor infrastruktur di Malaysia cukuplah. Jumlah wang yang kita nak labur di AS beri kesan besar kepada kita tetapi untuk AS sebenarnya hanyalah setitik air di lautan.

NAJIB TRUMP“Kita ini negara kecil dengan ekonomi kecil tetapi nak bantu negara yang jauh lebih besar dan maju dalam pelbagai aspek, ini memang tak logik tetapi hanyalah satu mainan politik di pihak Malaysia dengan bertujuan politik dan berdiplomasi. Ada udang di sebalik batu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sepatutnya sebagai negara kuasa ekonomi dunia, AS sepatutnya membantu ekonomi negara kecil seperti Malaysia dengan menambah jumlah pelaburan di sini.

Katanya, walaupun secara prinsipnya melabur di luar negara bagi tujuan memperolehi keuntungan lebih tinggi dianggap sebagai tindakan yang baik namun Kerajaan Persekutuan perlu menilai risiko pelaburan termasuk aspek nilai matawang ringgit yang semakin merudum.

Katanya lagi, Kerajaan Persekutuan sepatutnya menumpukan kepada usaha meningkatkan infrastruktur dalam negara terlebih dahulu apabila masih terdapat banyak kawasan yang tidak mempunyai infrastruktur sepatutnya.

World Economic Forum pada Mac lalu memetik data Bank Dunia melaporkan AS pada 2017 merupakan negara ekonomi terbesar di dunia dengan mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 18 trilion dolar AS atau 24.32 peratus dan diikuti China dengan nilai 11 trilion dolar AS atau 14.8 peratus berbanding keseluruhan nilai ekonomi dunia.

=EZY=