Categories
KENYATAAN MEDIA

Pengunduran Bellew punca penglibatan Najib beli pesawat baru?

 

OLEH SYED IBRAHIM SYED NOH

Saya menyambut baik perlantikan Kapten Izham Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan yang baru bagi Malaysia Airlines (MAS), namun pengunduran bekas CEO, Peter Bellew dan sebelum itu, Cristoph Mueller dalam tempoh yang singkat menimbulkan banyak tanda tanya.

Pengunduran Peter Bellew sebagai CEO MAS dalam tempoh kurang tiga tahun amat memeranjatkan. Beliau sebelum ini dilantik pada Julai 2016 bagi memulihkan syarikat penerbangan tersebut, namun mengumumkan melepaskan jawatan itu pada Oktober 2017.

Situasi ini mewujudkan persepsi bahawa Pelan Pemulihan MAS bernilai RM6 bilion yang diumum Khazanah Nasional pada 2014 mungkin terkesan secara negatif kerana Bellew merupakan CEO ketiga yang meninggalkan MAS dalam masa dua tahun.

Adakah keadaan ini ada sesuatu yang cukup tidak kena dengan semangat Pelan Pemulihan AS sehingga MAS gagal mengekalkan CEO-CEO nya?

Apa yang saya nampak, tanda-tanda perbalahan pendapat di antara Bellew dan pemegang saham MAS kelihatan jelas dalam respon CEO tersebut kepada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di White House bahawa MAS akan membeli kapal terbang Boeing berjumlah USD10 bilion dalam masa 5 tahun.

Seminggu selepas pengumuman Najib itu, media melaporkan Bellew sebagai berkata kapal terbang-kapal terbang itu tidak akan dimiliki MAS tetapi akan disewa, “yang merupakan norma mana-mana syarikat penerbangan moden”. Ini bercanggah dengan pengumuman Najib. Adakah itu menyebabkan Bellew mengundurkan diri sebagai CEO MAS?

Bellew ini sebenarnya dilantik menggantikan Cristoph Mueller yang berkhidmat bersama syarikat penerbangan Malaysia sebagai CEO pada Mei 2015 sebelum berhenti secara mengejut pada Jun 2016.

Kedua-dua mereka diamanahkan untuk memulihkan semula MAS selepas syarikat itu disusun semula berikutan dua nahas udara membabitkan penerbangan MH370 dan MH17 pada tahun 2014.Sebagai sebahagian daripada pelan menyelamat, MAS dibeli oleh Khazanah Nasional Berhad.

Umum mengetahui, tindakan kerajaan melantik Bellew sebagai CEO MAS juga adalah satu tindakan yang tidak tepat kerana kini jelas menunjukkan banyak kesan buruk yang berlaku ke atas pengurusan MAS selain tidak dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi syarikat penerbangan tersebut seperti bekas CEO sebelum ini Mueller.

Semasa pentadbiran Mueller, beliau mula menukarkan imej MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa dan bukannya tempatan atau benua. Selain itu, beliau mengeluarkan 6,000 pekerja dari MAS, sekaligus mengurangkan 1/3 kapasiti syarikat dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan Asia Pasifik, dan bukannya titik transit global.

Malah, Mueller juga menghentikan penggunaan pesawat Boeing 777-200 di dalam MAS, menilai semula kadar sewa beli pesawat MAS, membuat proses ‘overhaul’ dalaman MAS untuk akaun untung rugi, beliau juga membuat tempahan bagi pesawat baru jarak jauh yang bakal menawarkan kategori perjalanan yang baru.

Mueller juga menilai penggunaan Airbus A321 dan Boeing 737 Max 9 untuk perjalanan ke bandar-bandar sekunder di China dan beberapa negara di kawasan tersebut dan banyak lagi.

Walaubagaimanapun, saya amat berharap dengan perlantikan Kapten Izham, beliau dapat memainkan peranan penting dalam menjamin kesinambungan dan kemajuan keseluruhan usaha penstrukturan semula syarikat penerbangan tersebut di bawah Pelan Pemulihan MAS (MRP) supaya kepercayaan rakyat terhadap MAS dapat dikembalikan.

Semoga beliau tidak mensia-siakan peluang yang diberikan dan pengalamannya yang telah berkhidmat selama 38 tahun dengan MAS termasuk sebagai juruterbang pada tahun 1979.

* Syed Ibrahim Syed Noh adalah Ketua Penerangan KEADILAN