Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor juara Piala Presiden, tamatkan kemarau 9 tahun

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 21 OKT: Selangor B21 muncul juara Piala Presiden 2017 apabila mengatasi Terengganu B21 dengan agregat 2 – 1 biarpun tewas 0 – 1.

Dengan kejayaan itu, skuad muda Merah Kuning menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh sembilan tahun.

Dalam perlawanan akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, di sini, malam ini, Selangor B21 menerima tentangan hebat pasukan tuan rumah dari awal hingga akhir permainan.

Pemburuan Terengganu B21 bagi mendapatkan gol awal berhasil pada minit ke-24 menerusi Haidhir Suhaini dan ia meningkatkan semangat skuad bimbingan Mustaffa Kamal Abd Wahab untuk memburu gol seterusnya.

Selangor B21 bagaimanapun tidak memberi laluan mudah kepada Terengganu B21 dengan turut menyerang di samping kental bertahan.

Pasukan kendalian Omar Ali itu berjaya mempertahankan kelebihan satu gol hingga wisel penamat seterusnya menghampakan tuan rumah.

Selangor B21 membawa bekalan dua gol ke Kuala Terengganu selepas mengalahkan Terengganu B21 2 – 0 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Selayang, Selangor, 13 Oktober lalu.

=EZY=