Categories
SELANGOR

Selangor negeri bermaruah, berintegriti dan tarikan pelabur

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Pentadbiran Kerajaan Negeri tetap mempertahankan maruah negeri dan rakyatnya dengan tidak akan sesekali melutut kepada negara kuasa besar ekonomi dunia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebaliknya Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip kebertanggungjawaban, berintergriti dan bebas rasuah sebagai daya tarikan untuk mendorong pelabur asing melabur di negeri termaju itu.

“Minggu lepas saya berada di India dan sebelum itu di Negara China bukan saya bawa duit orang Sabak Bernam dan Tanjong Karang melabur di India dan China kerana saya bukan macam sebuah kerajaan yang dekat dengan Selangor itu, bawa duit rakyat pergi membantu membangunkan infrastruktur di Amerika Syarikat (AS).

“Ini apa cerita? Rakyat masih susah. Pembangunan negara masih jauh ketinggalan tetapi ada pemimpin sanggup melutut kepada negara asing, bawa wang rakyat Malaysia melabur di AS.

“Berbeza dengan Kerajaan Selangor yang ada maruah, integriti, kita tidak melutut kepada mereka tetapi mereka yang datang ke Negeri Selangor meletakkan pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat di Selangor ini,” katanya.

IKEABeliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, Selangor hari ini semakin mendapat perhatian dan keyakinan pelabur antarabangsa dengan meletakkan pelaburan berbilion ringgit dan sekaligus membolehkan rakyat Selangor memperolehi kemahiran dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

Katanya, antaranya syarikat terkemuka daripada Sweden, Ikea yang bersetuju melabur RM1 bilion di Selangor walaupun Kerajaan Negeri Johor turut melobi untuk mendapatkan pelaburan terbabit.

Sementara itu, Mohamed Azmin turut membidas golongan yang mengaku sebagai pejuang Melayu bagi kepentingan politik sendiri.

“Saya tidak mahu menjadi seperti setengah orang, mengaku pejuang Melayu tetapi bawa lari duit berbeg-beg ke negara asing. Melayu mana yang dia tolong? Melayu dirinya dan keluarganya tetapi Melayu di bawah masih susah, Melayu di kampung masih susah.

“Orang ini nak mendabik dada sebagai pejuang Melayu semata-mata kepentingan politik. Saya tidak mahu jadi pengkhianat kepada rakyat Selangor sama ada Melayu, Cina atau India semuanya menjadi tanggungjawab saya untuk mengangkat martabat mereka sebagai rakyat yang ada maruah dalam negeri Selangor ini,” katanya.

=EZY=