Categories
AGAMA PENDIDIKAN SELANGOR

Selangor sedia biayai huffaz lanjut pelajaran peringkat tinggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 22 OKT: Kerajaan Negeri bersedia membiayai pengajian pelajar tahfiz atau huffaz di negeri itu yang mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau juga meminta Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menyediakan program bagi membolehkan golongan ini mengikuti pendidikan aliran perdana.

“Bagaimana masa depan mereka jika mereka tidak dapat pembelaan dan tempat untuk menduduki SPM sedangkan anak-anak ini mempunyai pemikiran yang cukup baik di mana bukan mudah menghafal Al-Quran.

“UNISEL dicadangkan supaya mereka memulakan program memberi peluang kepada anak-anak Maahad Tahfiz mengikuti korikulum untuk menduduki peperiksaan SPM supaya apabila berjaya, mereka dapat peluang memasuki institusi pengajian tinggi.

“Kerajaan Negeri akan menyediakan pembiayaan dan biasiswa untuk anak-anak kita untuk meneruskan pengajian mereka di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Kuala Selangor dan Penyampaian Anugerah Kampung Tradisi Terbaik dan Inovasi Desa Terbaik Negeri Selangor 2017 di Masjid Darussalam, Kampung Bukit Kuching Jeram di sini, malam tadi.

Katanya, golongan profesional yang memiliki pengetahuan mendalam tentang Al-Quran merupakan satu aset penting untuk masa depan Selangor.

=EZY=