Categories
SELANGOR

Selangor terus komited peduli wanita

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 OKT: Seramai 61 peratus peserta program Hijrah terdiri daripada golongan wanita, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, skim mikrokredit itu juga dilihat berjaya meningkatkan tangga pendapatan wanita.

“Kita berbesar hati melihat lebih separuh daripada penerima bantuan modal perniagaan dengan peruntukan RM300 juta oleh Kerajaan Negeri ini merupakan kaum wanita.

“Perolehan pendapatan itu seterusnya meluaskan peluang wanita memperkukuh ekonomi keluarga masing-masing,” katanya.

MAMMOSELMohamed Azmin berkata, hampir 40,000 wanita turut menerima manfaat daripada pemeriksaan percuma mammogram, (MammoSel) setakat 30 September lalu.

“Kerajaan Negeri juga mensasarkan 1 juta rakyat menyertai rawatan asas percuma menerusi Skim Peduli Sihat dengan peruntukan RM125 juta.

“Kesihatan merupakan sebahagian kualiti rakyat, maka wanita perlu diberikan perkhidmatan asas percuma dan juga perkhidmatan kesihatan khusus dihadapi wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran IWB dan Dasar Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.