Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sokongan rakyat tingkat azam Kerajaan Negeri

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 2 OKT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menghargai sokongan berterusan rakyat Selangor terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri diketuainya.

Beliau berkata, ia membuktikan kepimpinan Kerajaan Negeri terus mendapat kepercayaan rakyat yang memberi mandat dalam pilihan raya umum lalu.

“Saya berada di Hyderabad, India dan mendapat berita yang menyatakan rakyat Selangor percaya kepada Kerajaan Negeri sedia ada.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Selangor atas sokongan dan dokongan ini yang menjadi inspirasi untuk kita terus bekerja kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama Dato’ Menteri Besar di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak, di sini, semalam.

IMG_20171001_190258Katanya, beliau dan pimpinan negeri akan terus berusaha membangunkan Selangor demi manfaat rakyat keseluruhannya.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga akan terus menganal pasti kumpulan sasar dan individu di negeri itu untuk dibantu.

“Dalam beberapa minggu akan datang, saya dan pegawai Kewangan Negeri juga pegawai lain akan bertungkus lumus menyiapkan Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan, pada 3 November ini.

“Ia satu belanjawan yang kita rangka untuk memberi kesan langsung kepada rakyat.

“Biar kerajaan yang turun memberi bantuan dan kebajikan kepada rakyat seperti saya juga pimpinan seirng berada di daerah,” katanya.