Categories
NASIONAL

Syed Saddiq dakwa disogok RM5 juta tinggalkan PPBM

SHAH ALAM, 2 OKT: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa menerima tawaran RM5 juta oleh “penasihat kanan perdana menteri” untuk meninggalkan parti itu dan menyambung pengajian di Universiti Oxford.

Beliau berkata, tawaran itu dibuat oleh “rangkaian sistematik dedak” yang dirancang penasihat kanan terbabit.

“Saya tidak akan tinggalkan PPBM dan akan terus di sini mendedahkan rangkaian sistematik dedak ini,” katanya lapor The Malaysian Insight.

Terdahulu, beliau mengadakan sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur untuk mengumumkan keputusan menangguhkan kerjaya politiknya.

Beliau sebelum itu memaklumkan mendapat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dalam bidang dasar awam yang dikongsi dalam kenyataan di Instagram.

Bagaimanapun, Syed Saddiq hari ini membuat pendedahan berkenaan tawaran RM5 juta untuk meninggalkan PPBM dan berkata pihaknya mempunyai bukti tetapi sedang berbincang dengan peguam sebelum menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).