Categories
SELANGOR

Timbang tukar Skim Ceria kepada Selangor Smart Life

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan menukar skim Ceria kepada Selangor Smart Life untuk penambahbaikannya demi kemudahan penduduk di kawasan penempatan pangsapuri berstrata di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata Kerajaan Negeri mendapat maklum balas pelbagai pihak berhubung skim diperkenalkan sejak 2010.

“Kita mendapat cadangan dan permintaan daripada plbagai pihak supaya Skim Ceria ditukarkan kepada Selangor Smart Life.

“Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan sama ada Skim Ceria boleh ditukar kepada Selangor Smart Life iaitu ditanggung 100 peratus sepenuhnya,” katanya.

Skim Ceria disediakan Kerajaan Negeri bagi tujuan baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah di Selangor dengan 80 peratus kos ditanggung Kerajaan Negeri manakala Badan Pengurusan Bersama (JMB) 20 peratus.

Manakala Selangor Smart Life pula Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan 100 peratus bagi membiayai kos penyelenggaraan lif di semua pangsapuri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, walaupun Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) adalah pegawai Kerajaan Persekutuan tetapi garis panduan mengenai bidang tugas ditentukan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Persekutuan sekadar menghantar mereka tetapi segala arahan kerja dibuat Kerajaan Negeri.

“Semua inisiatif baru daripada Kerajaan Negeri dan saya tidak nampak sebarang inisiatif darpada Kerajaan Persekutuan,” katanya berhubung kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, memaklumkan kedudukan COB sebagai pegawai Kerajaan Persekutuan ditempatkan di pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menghargai COB dengan mendapat kelayakan sama seperti mana pegawai di peringkat negeri.

=EZY=