Categories
NASIONAL

Tranformasi Najib gagal, rakyat kekal kepompong kemiskinan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 OKT : Program Transformasi Ekonomi hasil cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilaksanakan pada 2010 tidak membuahkan hasil seperti yang diwar-warkan oleh Umno BN.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasuition berkata demikian merujul kehidupan sebenar rakyat pada masa kini yang menyaksikan lebih ramai isi rumah di Malaysia berada di dalam kepompong kemiskinan.

“Bank Negara di dalam data kepenggunaan isi rumah bagi tempoh 2000 – 2009 menyatakan, perbelanjaan makanan ialah 23 peratus daripada jumlah perbelanjaan isi rumah, perumahan sebanyak 18.9 peratus dan pengangkutan pula sebanyak 13.4 peratus.

“Berdasarkan peratusan ini, jika RM950 dijadikan rujukan, bererti untuk setiap item tersebut bernilai RM220 untuk makanan, RM180 untuk perumahan dan RM130 untuk pengangkutan.

“Jika diteliti secara kasar nilai-nilai ini bolehlah dianggap terpesong daripada realiti sebenar. Semua pihak perlu sedar bahawa takrifan kemiskinan yang ditetapkan oleh kerajaan Umno BN adalah untuk menipu rakyat, terutama bagi keluarga miskin tegar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan terkini Jabatan Perangkaan yang kononnya membuktikan pengurusan ekonomi yang dirancang oleh kerajaan Umno BN mencapai keputusan yang cemerlang.

Laporan itu juga menyatakan pendapatan isi rumah kumpulan sederhana meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu pertumbuhan pada kadar 6.6 peratus setahun dengan nilai nominal.

Pada masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan pencapaian itu secara tidak langsung menafikan dakwaan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak memberangsangkan dan tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun kata Saifuddin, perincian dinyatakan agensi berkenaan tidak menunjukkan realiti sebenar kemiskinan yang dihadapi oleh masyarakat.

Beliau indikator yang menentukan angka berkenaan ialah pendapatan garis kemiskinan (PGK) iaitu pendapatan yang mencukupi bagi membolehkan isi rumah memenuhi keperluan asas dalam masyarakat.

“Jika benar, apa yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan tersebut, saya mendesak kerajaan segera umumkan dasar dan perancangan untuk meningkatkan paras pendapatan rakyat supaya rakyat bebas daripada dibelenggu kemiskinan,” katanya.

=EZY=