Categories
KENYATAAN MEDIA

Umno BN tak peka dan responsif keperluan penjawat awam

Saya ambil maklum amaran yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap penjawat awam dengan menyatakan masa depan mereka mungkin menjadi buruk jika pembangkang memerintah kelak.

Jika Najib menyifatkan hubungan antara kerajaan dan penjawat awam sebagai ‘aur dan tebing’, tetapi kini tidak lagi apabila rata-rata penjawat awam sudah ‘tawar hati’ dengan kerajaan pada hari ini.

Hakikatnya, kakitangan awam khususnya di peringkat pertengahan dan bawah sememangnya tidak berpuas hati, kecewa dan marah kepada kerajaan Umno BN atas pelbagai faktor.

Kehidupan mereka semakin hari semakin perit sejak kerajaan Umno BN menghapuskan pelbagai subsidi dan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Tambahan pula, kepincangan kepimpinan Umno BN dengan pelbagai skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa telah membuatkan penjawat awam berasa meluat dan menyampah dengan kepimpinan sedia ada.

Sekiranya kerajaan Umno BN benar-benar berintegriti dan berjaya dalam pemerintahannya, sudah pasti kerajaan tidak perlu takut kurangnya sokongan daripada kakitangannya.

Jika hendak dipersoalkan perihal kenang budi, Umno BN menjadi contoh kerajaan yang tidak tahu kenang budi rakyatnya. Setelah undi dan mandat diberi, di kemudian hari rakyat dilayan bagai ‘sampah sarap’, malah semua projek diberikan kepada kroni-kroninya sahaja.

Lagi mendukacitakan apabila para penjawat awam sering dibelenggu oleh campurtangan politik dan kebajikan yang tidak berpenghujung.

Diakui penjawat awam boleh menjadi pencetus perubahan dalam sektor perkhidmatan awam. Justeru, jangan dibiarkan kerajaan Umno BN memperkotak-katikkan perkhidmatan awam lagi.

Hal ini boleh diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang dengan menggunakan kuasa undi bagi mengubah keadaan negara dan perkhidmatan awam khasnya.
OLEH: Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Parti KEADILAN Rakyat