Categories
NASIONAL

Upaya gaji bomba selaras pasukan polis

 

SHAH ALAM, 27 OKT: Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari sekali lagi mengulangi cadangan mengupaya gaji anggota bomba supaya selaras dengan pasukan polis.

Katanya, cadangannya itu bersandarkan kepada tugas dan tanggungjawab pasukan bomba yang terdedah kepada situasi mencabar dan berisiko tinggi.

Saranan tersebut juga diambil kira setelah melihat kesungguhan dan dedikasi pasukan bomba dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa tanah runtuh di Lembah Permai, Tanjung Bungah.

“Usaha mereka yang berterusan selama 48 jam berturut-turut memungkinkan kesemua mayat mangsa dikeluarkan walaupun tertimbus dalam runtuhan yang begitu besar,” katanya yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataan, semalam.

“Justeru, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan daripada lima buah balai bomba, iaitu Bagan Jermal, Prai, Jalan Perak, Paya Terubong dan Kepala Batas atas komitmen mereka dalam menghadapi situasi mencabar ini.”

Sekurang-kurangnya 200 anggota bomba berkampung selama 24 jam di kawasan kejadian sejak 21 Oktober lalu dan kesemua 11 mayat berjaya dikeluarkan daripada lokasi nahas tersebut.