Categories
SELANGOR

23 projek hotspot gantian paip lama seluruh Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : 23 projek hotspot gantian paip lama di seluruh negeri giat dibangunkan dengan kesemua projek berkenaan bakal siap pada suku tahun pertama 2018.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, untuk tempoh sehingga September lalu, 24 projek hotspot baru diberikan kepada kontraktor berjaya menerusi tender terbuka.

“Baki 27 hotspots lagi akan dilaksanakan pada 2018 tertakluk kepada baki pinjaman RM93.70 juta yang dikeluarkan lebih awal oleh Kerajaan Negeri pada 2018 dan bukannya pada tahun 2019 seperti yang dijadualkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak di Dewan Negeri Selangor, Penggal ke 13, pagi ini.

Pada masa sama, Zaidy berkata, Kerajaan Negeri kini berjaya mengatasi masalah Non Revenue Water (NRW) seluruh negeri.

Katanya, pengambilalihan Air Selangor bagi pengurusan air negeri sejak 2015, 32.56 peratus penjimatan NRW dapat dikurangkan.

Jumlah berkenaan berkurang berbanding 31.4 peratus bagi tempoh sehingga September 2017.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan perbelanjaan RM50 juta, bagi mengatasi masalah kebocoran paip.

Sebelum ini, Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menanggung kerugian air tidak berhasil (NRW) sebanyak RM1.821 juta akibat kecurian air dari 1 Januari sehingga 24 Mei, tahun lalu.

Jumlah itu diperoleh hasil daripada 261 notis dikeluarkan SYABAS membabitkan kes kecurian air di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Pada masa sama, jumlah tersebut meliputi pengunaan air sebanyak 587,011.67 meter padu bagi tempoh sehingga Mei.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan NRW sebanyak 25 peratus mampu dicapai bagi tempoh 2016 lalu.