Categories
GLOBAL

25 cedera, dua tren MRT Singapura bertembung

SINGAPURA 15 NOV: Seramai 25 mangsa cedera apabila sebuah kereta api transit aliran massa (MRT) di Singapura bertembung dengan kereta api yang tidak bergerak berhampiran sebuah stesen di kawasan barat negara itu.

Akhbar Strait Times melaporkan kejadian itu berlaku pada jam 8 pagi waktu tempatan namun tiada perincian butiran diberikan.

Pengendali kereta api itu, SMRT tidak memberikan sebarang kenyataan ketika dihubungi.

Sementara itu, laman web Channel News Asia melaporkan 25 penumpang dibawa untuk menerima rawatan di hospital selepas dua tren berlanggar di stesen MRT Joo Koon.

An MRT train collided with a stationary train at Joo Koon MRT station. (Photo: Facebook/Mei Anne)

“Seramai 23 penumpang dan dua kakitangan MRT Singapura (SMRT) mengalami kecederaan ringan dan mereka dibawa ke Hospital Ng Teng Fong dan Hospital National University,” kata SMRT dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan bersama.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku pada jam 8.18 pagi ketika sebuah tren yang dalam perjalanan dari Stesen Tuas Link terhenti di Stesen Joo Koon dan seminit kemudian, tren kedua berhenti di belakang tren pertama.

“Pada jam 8.20 pagi, tren bergerak di hadapan tanpa disangka-sangka dan berlanggar dengan tren pertama,” katanya.

Berikutan itu, SMRT dan LTA berkata, mereka sedang menyiasat punca kejadian berkenaan.

Dalam pada itu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 8.33 pagi.

“Seramai 23 orang yang kebanyakannya mengalami cedera ringan sudah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

SUMBER FOTO: CHANNEL NEWS ASIA

=EZY=